Tuesday, 8 April 2014

SEBUAH TRAVELOG ILMIAH : JAULAH KE IPSI DAN KUIL


KHAMIS (3/4/2014)

Dua pensyarah kami yang setia menemani dan mengiringi jaulah ilmiah ini, Dr.Rosmizi dan Dr.Nashief.
Bermulalah sebuah jaulah menuju ke negeri Pulau Pinang. Targetnya, mahu menuju ke IPSI (Islamic Propagation Society International) dan kuil-kuil besar di sana. Perjalanan kami bermula lebih kurang jam 11 malam, dari Acasia, Nilai. Seramai lebih kurang 120 mahasiswa dan mahasiswi Pengajian Akidah dan Agama, USIM menyertai lawatan ilmiah ini. Diiringi dua pensyarah kami sendiri iaitu Dr. Rozmizi dan Dr. Nashief S.Disomimba. Sebanyak 3 bas bertolak bersama kami. Perjalanan yang amat panjang itu menyebabkan bas berhenti dua kali di RnR. Terasa lambat masa berlalu.

JUMAAT (4/4/2014)

IPSI, Pulau Pinang.

Solat Subuh kami di Pulau Pinang. Singgah sebentar di sebuah surau. Kemudian, diteruskan dengan sarapan untuk mengisi perut yang sudah sibuk menyanyi lagu keroncong. Usai bersarapan, kami menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Mashoor, Pulau Pinang. Di situlah tempat kami menginap dan menguruskan diri masing-masing. Sampai saja di sana, masing-masing mencari posisi tilam yang selesa dan terus merebahkan sekujur tubuh yang sudah lesu dek kerana berjam-jam di dalam bas. Usai rehat, pelajar lelaki perlu bersiap-sedia untuk solat Jumaat.

Jam 3 petang. Agenda kami bermula dengan melawat IPSI. Sebelum itu, perut harus diisi! Kami singgah di kawasan berdekatan dengan Hospital Pulau Pinang untuk mencari juadah dan kedai makan berhampiran. Jaulah diteruskan dengan menuju ke Pusat Penyebaran Islam Antarabangsa iaitu IPSI. Lebih kurang jam 4 petang, kami tiba di bangunan IPSI. Kakitangan IPSI menyambut kami sebagai tetamu istimewa dari USIM, Nilai dengan wajah gembira sekali.

Kami dihidangkan dengan 'makanan rohani' yang cukup mengenyangkan jiwa dan hati-hati kami. Sebagai permulaan, pihak IPSI menayangkan video mereka untuk tontonan kami. Video tersebut banyak membuka mata kami. Mengalir sebuah rasa insaf dan kesedaran. Terpegun dengan cara dakwah dan pendekatan mereka pada warga Non Muslim.

Antara kata-kata daripada Presiden IPSI iaitu ustaz Kamarudin Abdullah yang masih tersimpan kemas dalam ingatan ini adalah,

 "Kamu tahu tak, di Indonesia saja, dah ada 28 juta orang Kristian. Orang Kristian sangat aktif menyebarkan dakyah mereka. Kenapa kita tak turun untuk berdakwah pada non-Muslim? Kenapa kita, ustaz ustazah lepasan al-Azhar, lepasan universiti Islam semua, tak keluar ke gelanggang masyarakat untuk berdakwah? Tak ramai yang nak berdepan dengan non-Muslim? Sunnah utama Nabi Muhammad Sollallahu 'Alaihi Wasalam adalah dakwah. Berdakwah pada orang-orang kafir atau non-Muslim. Jangan kita rasa bangga jadi ustaz atau ustazah kalau kita tak ada pengorbanan, tak ada keringat peluh untuk jalankan dakwah Islam."

"Kalau dalam kuliah, kita dapat teori saja. Jadi, macam mana nak aplikasikan? Macam-macam tuduhan Islam dapat. Siapa nak bela Islam kalau bukan kita?"

"Barang siapa membawa amal yang baik maka baginya (pahala) sepuluh kali lipat amalnya; dan barang siapa yang membawa perbuatan yang jahat maka dia tidak diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya, sedang mereka sedikit pun tidak dianiaya (dirugikan)." (Surah al-An'am : 160)

Ustaz Kamarudin Abdullah sedang rancak berkongsi cerita dan pengalaman bersama kami.

Ustaz Kamarudin Abdullah sempat berkongsi bersama kami akan kisah beliau bertemu dengan hidayah-Nya. Kisah beliau tersentak dan tersentuh dengan satu ayat cinta-Nya, seterusnya membawa beliau menuju ke gerbang Islam. Beliau baca terjemahan Al-Quran kerana tika itu, beliau tidak reti membaca Bahasa Arab. Dan hatinya tersentak dan tersentuh dengan ayat cinta-Nya dalam surah al-Ikhlas, ayat 1-4 yang membawa makna,

Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia".

Kita sebenarnya adalah duta Islam. Orang sekeliling kita, termasuklah non-Muslim akan memandang Islam berdasarkan kita, orang Muslim. Dan sepatutnya, mereka perlu lebih memandang pada Islam itu sendiri kerana Islam itu sempurna, sedangkan Muslim itu serba berdosa dan banyak lagi yang tak kena. Sebab itulah, kita, diri kita sendiri perlu diislah iaitu perlu diperbaikkan lagi dari sudut memahami dan meneladani serta menanam Islam dalam diri kita memandangkan kita ini Muslim.

Ustaz Kamarudin juga bercerita mengenai bagaimana orang Kristian sebarkan dakyah mereka. Mereka tak bawa agama mereka terus. Mereka akan cuba menangi hati orang ramai, bantu sana sini, bermalam di tempat mereka (khususnya orang Asli), tunjuk keprihatinan mereka, amalan-amalan mereka. Bila dah lama, bila mereka dah ada 'tempat' di hati orang Asli, barulah mereka bercerita soal agama Kristian. Kita kena duduk dengan mereka, 2-3 tahun, dekat dengan mereka supaya kita dapat 'pancing' mereka. Kena hati-hati. Sebab ada juga yang over excited nak berdakwah, berkeras dengan mereka, sampai ada yang kena pancung. Kalau kita benar-benar serius, ikutlah jemaah yang senior, yang dah buat kerja-kerja macam ni lama, belajar daripada mereka. Benda macam ni memang sangat perlu akan sebuah pengorbanan.

Beliau juga berkongsi tentang 12 rujukan untuk dakwah, yang boleh kita guna dalam hendak menjawab hujah dan persoalan-persoalan daripada pihak non-Muslim. Soalan susah ke, senang ke, boleh jawab.

1) Al-Quran
2) Al-Sunnah
3) Ijmak Ulamak
4) Sirah Nabi
5) Adat
6) Sains
7) Fakta
8) Statistik
9) Logik
10) Psikologi
11) Perbandingan Agama
12) Analogi

Itulah antara isi sebahagian perkongsian beliau bersama kami selama lebih kurang 2 jam itu. Kemudian, kami disajikan dengan hidangan bihun goreng sebagai menu petang. Usai makan, kami singgah ke kedai buku mereka, membeli buah tangan berbentuk buku sebagai bahan 'makanan utama' pelajar Pengajian Akidah dan Agama. Memang rambang mata tengok lambakan buku-buku tersebut!

Kami singgah ke Masjid Negeri Pulau Pinang untuk menunaikan solat jamak takdim Maghrib dan 'Isyak. Usai solat, kami kembali ke teratak penginapan kami, SMKA Al-Mashoor. Malam itu, beberapa pelajar lelaki bersama seorang pensyarah pengiring kami, Dr. Rosmizi, mengambil kesempatan untuk memenuhi ruang stadium Pulau Pinang bagi menyaksikan perlawanan bola sepak antara Pulau Pinang dan Johor. Pelajar perempuan pula, sebahagian mereka, keluar di sekitar situ untuk jalan-jalan mencari makan. Yang lain, hanya mampu  berehat di bilik asrama masing-masing lantaran skru-skru otot sudah longgar dan perlukan rehat yang cukup untuk menghadapi hari esok, jaulah ke kuil besar pula!

SABTU (6/4/2014)

Sesi bergambar bersama.
Cuaca tenang dan damai pagi itu. Alhamdulillah, kami meneruskan misi kami pada hari terakhir itu iaitu berkunjung ke dua buah kuil besar yang terdapat di Pulau Pinang ini. Kami berkumpul lebih kurang jam 7.30 pagi. Sementara menunggu kehadiran bas, kami diarahkan untuk berkumpul mendengar sedikit taklimat daripada pensyarah pengiring kami. Beliau menasihatkan kami agar menjaga adab dan etika ketika berada di kuil nanti. Beliau meminta agar kami tidak memperlekehkan patung-patung mereka dan sebagainya. Usai taklimat, sesi bergambar bersama pula. Kemudian, jalan kaki untuk mencari sarapan kerana perut masing-masing sudah minta diisi.

Lebih kurang jam 9.45 pagi, kami menuju ke destinasi terakhir, iaitu kuil. Ada dua buah kuil yang sempat untuk kami kunjungi. Biarlah gambar-gambar di bawah ini yang berbicara.









Ada antara kami yang bertegur sapa dan berbual sebentar bersama seorang pelancong asing dari Belgium, seorang 'free thinker'. Bila ditanya, "What do you understand about Islam?"

"Erm.. Islam I see only like a.. lets say a.. in western culture, we see only the.. not so good parts.. I think that the teachings of like sufi, I think that very high. But its happen now today that people dont see that anymore. There is so strict and many complicated. Erm.. I think there are so many beautiful things, not only in Islam, but Buddhism and so on.. If we can combine these things, and then it will benefit us. So, study a lot and know more. Have a good journey." Jawabnya.

"Ok thank you for your answer.. have a great journey too.." Balas kami sambil melambai tangan. Dari situ, kami faham, Islam ini sebenarnya bagaimana dari persepktif orang-orang Barat. Dan itu menaikkan semangat kami untuk lebih bersungguh-sungguh dalam tafaqquh fiddin untuk membetulkan pandangan-pandangan Barat yang salah mengenai Islam. Banyak yang nak diborakkan, tapi, masa mencemburui kami. 
Ada antara sahabat kami yang sempat berbual dan menemu ramah seorang sami. Bertanya tentang sejarah Buddhism.

Menariknya, mereka memang sediakan dan beri buku komik mereka bertajuk 'Journeys To The Under-World' pada orang yang datang ke kuil tersebut. Termasuklah kami yang Muslim ini, dapat juga buku tu. Kami ambil dan terima. Mungkin, itu salah satu 'manhaj dakwah' mereka pada orang ramai. Dan, kita perlu ikut cara sebegitu. Biar pelancong asing datang ke masjid kita, ambil gambar masjid kita dan sebagainya. Kemudian, kita boleh bagi mereka buku atau risalah dakwah kita. Nak lagi seronok, kita boleh sediakan dan beri mereka Al-Quran terjemahan versi Bahasa Inggeris. Ada sebahagian hotel yang sediakan Bible di bilik hotel mereka. Itu juga salah satu cara Kristian sebarkan agamanya. Maka, apa yang kita buat untuk sebarkan Islam?

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud: “Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil” [Hadith Muslim no. 145]

Sebelum pulang, kami sempat juga singgah di beberapa tempat untuk membeli-belah ole-ole, makan tengahari, serbu pasembur dan sebagainya. Memang sedap pasemboq penang! Sayangnya, tak dapat merasa nasi kandaq! :(

Sepanjang perjalanan pulang itu, ramai juga yang turun untuk berhenti di RnR dan pulang ke kampung sendiri kerana jaraknya yang sudah dekat. Untunglah mereka!

Alhamdulillah, kami selamat sampai hampir jam 10.30 malam. Perjalanan pulang memang banyak perhentian, jadinya, agak lewat sedikit sampai. Sesungguhnya, jaulah dan lawatan ilmiah ini memang terasa penatnya. Namun, terasa juga puasnya! Harap, tahun depan dapat ke gereja pula!

NASIHAT BUAT PENUNTUT ILMU

Pelajar-pelajar lelaki dan dua pensyarah kami bersama ustaz Kamarudin dan kakitangan IPSI.
Sebagai seorang pelajar dan penuntut ilmu agama, kita ada amanah dengan ilmu yang kita pelajari. Jaga dan gunakanlah amanah itu sebaiknya. Jalankan tanggungjawab kita bersama iaitu mempraktikkannya dalam kehidupan seharian kita. Bukan sekadar berteori di dalam kelas dan kuliah serta di atas kertas peperiksaan semata. Akan tetapi, turun padang dan libatkan diri denga masyarakat!

Namun, jangan sampai kita jadi golongan yang "suka berdakwah akan tetapi lesu di bilik kuliah"!

Lebih-lebih lagi, pelajar Pengajian Akidah dan Agama. Kita belajar agama samawi, kita belajar bab-bab akidah, kita belajar perbandingan agama, kita belajar tasawuf, falsafah dan sebagainya. Andai kita tidak serius dalam belajar dan masih leka dengan pesona dunia, maka, rugilah kita!

“…sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah adalah dalam kalangan hamba-Nya yang berilmu.” (Surah Fatir : 28)

Belajar itu penting. Menuntut ilmu itu penting, kesungguhan dalam menuntut ilmu itu penting. Jangan sesekali ambil ringan soal sebegini, kerana pekerjaan kita di masa akan datang, nak menerang dan menyampaikan pada masyarakat, nak itu nak ini, memerlukan ilmu yang kita tahu. Bukan ilmu yang kita buat-buat tahu. Lagi-lagi, kita ini dalam bidang akidah. Lagi perlu pada pemahaman ilmu yang betul dan jelas serta usaha yang bersungguh untuk mahir membaca dan menghadam kitab dan sebagainya. Tak ada masa dah nak main-main buat assignment, nak ponteng kelas kuliah, nak bermalasan dan asyik nak beralasan lagi.

Satu pesanan terakhir yang perlu kita sematkan dalam hati dan diri :
Kerja-kerja Islam itu bukan dilakukan pada waktu lapang, tapi, kita yang perlu lapangkan waktu kita untuk melakukan kerja-kerja Islam.

Pelajaran no 1, kerja-kerja dakwah dan persatuan bukan no 2. 

"AKIDAH JITU, UMMAT BERPADU"

"Klik di sini" untuk lihat gambar dan suasana sepanjang lawatan ilmiah ini. Semoga bermanfaat perkongsian untuk kali ini. Moga Allah redha kita.

Thursday, 6 March 2014

TALK '7 QUESTIONS ON THE BASIS OF CHRISTIANITY'


Alhamdulillah. Persatuan Mahasiswa Pengajian Akidah dan Agama (PERWADAH) berjaya menganjurkan satu program iaitu Wednesday Public Lecture yang mampu memenuhkan dewan DKF1.2 dengan manusia yang dahaga akan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan akidah. Ramai yang membanjiri dewan kuliah fakulti itu.

Hal ini sedikit sebanyak mempositifkan fikiran orang ramai yang lazimnya kita dengar, 'muda-mudi sekarang dah tak minat belajar agama', 'budak-budak zaman sekarang mana nak ambil tahu hal-hal agama ni'. Orang mudalah yang semangatnya paling berkobar-kobar untuk mencari dan menuntut ilmu, terutama ilmu-ilmu agama.




Bro Lim Jooi Soon merupakan seorang bekas penganut agama Buddha dan Kristian. Beliau menghafaz al-quran dan juga Bible.

Beliau kekalkan nama beliau, walaupun setelah memeluk Islam, atas beberapa sebab. Salah satunya, beliau tidak mahu adat masyarakat memandang bahawa, orang Islam mesti ada pada nama-nama Arab saja. Beliau juga menjelaskan makna nama beliau.

Lim - nama keluarga
Jooi - nama keturunan
Soon - nama beliau yang bermaksud menuju kejayaan

Perkongsian Bro Lim selama hampir 2 jam itu banyak berkisar tentang perbezaan Islam dan Kristian.

Bro Lim menerangkan bahawa, Kristian bermakna mereka yang ikut Jesus Christ iaitu Nabi Isa 'alaihissalam. Muslim pula merupakan satu-satunya, yang bukan Kristian yang percaya pada Nabi Isa 'alaihissalam. Berdasarkan perkongsian ilmu oleh Bro Lim tempoh hari, di sini, dikongsikan secara ringkas beberapa nota yang dirasakan penting untuk kita ketahui.

1) Dosa Warisan - Menurut Kristian, dosa itu boleh diwarisi. Dosa akan diwarisi oleh seluruh keturunan manusia. Setiap kanak-kanak yang dilahirkan, pasti akan mewarisi dosa. Tetapi dalam Islam, dosa tidak diwarisi. Sebagai contoh, ayah suka makan dan minum manisan, akan tetapi, si anak yang terkena penyakit kencing manis. Relevankah?

"Sesungguhnya kami menurunkan kepadamu Al Kitab (Al Qur'an) untuk manusia dengan membawa kebenaran; siapa yang mendapat petunjuk, maka (petunjuk itu) untuk dirinya sendiri, dan siapa yang sesat maka sesungguhnya dia semata-mata sesat buat (kerugian) dirinya sendiri dan kamu sekali-kali bukanlah orang yang bertanggung jawab terhadap mereka." (Surah az-Zumar : 41)

2) Isa adalah anak kandung Allah

Ini sangatlah bertentangan dengan Islam.

"Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Sesungguhnya Allah adalah Al Masih putra Maryam", padahal Al Masih (sendiri) berkata: "Hai Bani Israel, sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhanmu" Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya surga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang lalim itu seorang penolong pun."

3) Isa mati disalib untuk menebus dosa manusia.

Logikkah? Cuba kita fikirkan sejenak. Tuhan yang mengutus Isa, jadi sepatutnya kita perlu berterima kasih pada yang mengutus atau pada yang diutus? Hakikatnya, Isa tidak mati disalib. Puncanya adalah Judas (anak murid Isa) yang mengkhianatinya.

"dan kerana ucapan mereka: "Sesungguhnya Kami telah membunuh Al Masih, Isa putra Maryam, Rasul Allah", padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan 'Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih paham tentang (pembunuhan) Isa, benar-benar dalam keragu-raguan tentang yang dibunuh itu. Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu, kecuali mengikuti persangkaan belaka, mereka tidak (pula) yakin bahwa yang mereka bunuh itu adalah Isa.

Tetapi (yang sebenarnya), Allah telah mengangkat Isa kepada-Nya. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."  (Surah an-Nisaa' : 157-158)

4) Isa adalah Tuhan  dalam bentuk manusia.

Perkara ini juga bertentangan. Dalam Bible sendiri, tak pernah ada disebut bahawa Isa adalah Tuhan.

Kebanyakan ajaran dan kepercayaan dalam agama Kristian ini adalah berasal daripada Paul.



Kesimpulan

Allah Maha Berkuasa. Dia mampu melakukan apa-apa saja, mengikut sifat-sifatNya yang Maha Baik dan Penyayang itu. Allah mencipta malaikat bukan untuk meringankan kerja-kerjaNya, akan tetapi, sebagai bukti bahawa Dia Maha Berkuasa mencipta mahkluk yang 100% taat dengan perintahNya.

Orang Islam terbahagi kepada dua iaitu :-
1) Islam pada keturunan
2) Islam pada amalannya yang betul-betul mengamalkan Islam berdasarkan sumber.

Jadi, jika mahu berdakwah dengan orang bukan Islam seperti Kristian, kita perlu akan hujah dan dalil 'aqli dan naqli serta perlu tahu tentang isi kandungan Bible atau nama Melayunya, al-Kitab. Bilamana kita dapat kuasai ilmu hujah dan perdebatan dengan baik dan berhikmah, maka, di situ kita takkan goyah seperti yang telah dibuktikan oleh Rasulullah, para sahabat, Imam Ghazali yang digelar Hujjatul Islam, Imam al-Baqillani dan sebagainya. InsyaAllah.



P/S : Untuk bacaan dan penerangan lebih lanjut dan mendalam, boleh rujuk dan baca buku penulis sendiri, '7 PERSOALAN BERKENAAN ASAS-ASAS AGAMA KRISTIAN' dan juga buku 'SOALAN KONTEMPORARI'. Sangat bermanfaat.

Moga bermanfaat perkongsian yang serba sedikit ini. Sekian. Wallahua'lam. 


Monday, 2 December 2013

Paul Walker dan Hukum Ucapan R.I.P


Saya terbaca satu komen di Facebook, "Eh, boleh ke ucap R.I.P. Paul Walker?"

"Entahlah. Bolehlah kot. Biasa aku tengok kalau orang putih mati, tulis ni je!", seorang lagi membalas.

Bagi yang tidak mengenali, Paul Walker ialah pelakon terkenal siri Fast and Furious, yang dilaporkan meninggal dunia di dalam sebuah kemalangan ngeri yang berlaku di Santa Clarica, California baru-baru ini.


Kematiannya menjadi satu perkara yang heboh diperkatakan di media sosial seluruh dunia termasuk Malaysia. Umat Islam di Malaysia yang meminati filem dan pelakon ini turut bersedih atas kematiannya dan ada sebahagiannya yang mengikut kebiasaan orang Barat dengan mengucapkan Rest in peace kepada Paul Walker.

Ia membawa perbahasan menarik berkenaan tiga isu. Hukum ziarah Non-Muslim yang sakit, hukum ziarah Non-Muslim yang meninggal dunia dan ucapan yang sesuai untuk takziah kepada Non-Muslim yang meninggal dunia.

Sejarah Ringkas R.I.P
Rest in peace (Latin: Requiescat in pace) adalah satu ucapan ringkas yang biasa diucapkan kepada seseorang yang telah meninggal dunia bagi agama Kristian khususnya aliran Katolik. Perbahasan berkenaan hukum mengucapkan R.I.P ini juga terdapat perbezaan pandangan dalam agama Kristian di mana aliran Protestan tidak bersetuju dalam hal ini. 

Tulisan R.I.P biasanya diukir di batu nisan dan menjadi satu kebiasaan bagi kubur-kubur penganut Kristian Katolik sejak abad ke-18. Justeru, ia ada kaitan dengan amalan keagamaan. 

Ziarah Non-Muslim Yang Sakit dan Meninggal
Islam tidak melarang umatnya untuk berbuat baik dan bermuamalah yang baik kepada orang-orang kafir selama mereka tidak memerangi kita dan tidak mengusir kita dari negeri kita.

Allah SWT berfirman:


لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ.الممتحنة

“Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (Al-Mumtahanah :8)

Berkata Syeikh Abdurrahman As-Sa’di:

لا ينهاكم الله عن البر والصلة، والمكافأة بالمعروف، والقسط للمشركين، من أقاربكم وغيرهم، حيث كانوا بحال لم ينتصبوا لقتالكم في الدين والإخراج من دياركم، فليس عليكم جناح أن تصلوهم، فإن صلتهم في هذه الحالة، لا محذور فيها ولا مفسدة

Allah tidak melarang kalian untuk berbuat baik, menyambung silaturrahmi, membalas kebaikan , berbuat adil kepada orang-orang musyrik, dari keluarga kalian dan yang lain selama mereka tidak memerangi kalian karena agama dan selama mereka tidak mengusir kalian dari negeri kalian, maka tidak mengapa kalian menjalin hubungan dengan mereka karena menjalin hubungan dengan mereka dalam keadaan seperti ini tidak ada larangan dan tidak ada kerusakan.” (Tafsir As-Sa’di hal 856-857)
Bahkan, Islam amat menitikberatkan keselamatan dan kebajikan Non-Muslim yang berada dalam kesusahan selagimana mereka tidak bermusuh dengan Islam. Firman Allah SWT,

وَإِنْ أَحَدٌ مِنَ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّى يَسْمَعَ كَلَامَ اللَّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَعْلَمُونَ 

Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). (Surah al-Taubah: 6)
Secara umum, mengingati mati adalah jalan yang terbaik untuk menumbuhkan rasa insaf dalam diri. Oleh itu, Islam menggalakkan penganutnya menziarahi kubur dan jenazah, begitu juga menziarahi mereka yang sakit. 

Rasulullah SAW pernah menziarah bapa saudaranya, Abu Talib ketika dia sakit gering. Nabi SAW mengajaknya beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Walaubagaimanapun, Abu Talib tetap dengan agama bapanya, Abdul Mutalib. Peristiwa ini dirakamkan di dalam Sahih al-Bukhari.

Rasulullah SAW juga pernah menziarahi seorang Yahudi yang masih muda ketika dia sakit. Nabi SAW mengajaknya beriman. Yahudi ini memandang bapanya untuk meminta pandangan dan bapanya menyuruhnya mengikuti Nabi SAW. Peristiwa ini juga dirakamkan di dalam Sahih al-Bukhari. 

Maka, menziarahi Non-Muslim yang sakit atau meninggal dunia adalah satu perkara yang baik dan dibenarkan di dalam Islam. 

Ucapan Takziah dan Doa Kepada Non-Muslim Yang Telah Meninggal
Berhubung ucapan R.I.P (Rest in Peace) umat Islam dilarang mendoakan keampunan bagi Non-Muslim. Ini adalah berdasarkan sebuah hadith, 


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: زَارَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبْرَ أُمِّهِ فَبَكَى وَأَبْكَى مَنْ حَوْلَهُ فَقَالَ اسْتَأْذَنْتُ رَبِّي فِي أَنْ أَسْتَغْفِرَ لَهَا فَلَمْ يُؤْذَنْ لِي وَاسْتَأْذَنْتُهُ فِي أَنْ أَزُورَ قَبْرَهَا فَأُذِنَ لِي فَزُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ
Dari Abi Hurairah RA, beliau berkata: Nabi SAWT pernah menziarahi kubur ibunya lalu beliau mengangis, maka orang-orang di sekelilingnya pun turut menangis. Beliau pun bersabda: Aku meminta izin kepada Rabb-ku untuk memberikan keampunan untuk ibuku, tetapi Dia tidak mengizinkanku. Aku meminta izin untuk menziarahi kuburnya, maka Dia memberi izin kepadaku. Oleh kerana itu, ziarahlah kubur, kerana ia dapat mengingatkan kepada kematian. (Hadis Riwayat Muslim,1622)

Imam Nawawi dalam kitabnya al-Majmu Sharh al-Muhadhdhab berkata, ulama sepakat mendoakan orang bukan Islam dengan keampunan Allah, mendapat syurga dan apa saja berkaitan akhirat adalah diharamkan.
وأما الصلاة على الكافر، والدعاء له بالمغفرة فحرام بنص القرآن والإجماع
Adapun menyembahyangkan mayat orang kafir (bukan Islam) dan mendoakan orang kafir  untuk mendapat keampunan adalah haram dari teks Al-Quran dan ijma' ulama ( Al-Majmu', 5/144)

Begitu juga ucapan seperti May he/her soul rest in peace, God bless him dan lain-lain ucapan yang berunsur doa adalah dilarang di dalam Islam. Mengapa Islam melarang berdoa untuk keampunan bagi Non-Muslim? Umat Islam dituntut untuk beriman dan melakukan apa yang Allah SWT perintahkan, meninggalkan apa yang Allah SWT larang. 

Menjadi seorang Non-Muslim membawa maksud tidak mempercayai kewujudan dan juga kekuasaan Allah SWT (uluhiyyah dan rububiyyah). Maka, tidak ada doa buat Non-Muslim yang telah meninggal dunia kerana mereka sendiri tidak mempercayai dan mengiktiraf adanya Allah SWT sebagai Tuhan Sekalian Alam. 

Pun begitu, Islam tidak bersikap membenci Non-Muslim baik yang hidup atau yang telah meninggal dunia. Inilah yang dinamakan sebagai al-ukhuwwah al-insaniyyah (the brotherhood of humankind). Ini kerana, Islam menegaskan bahawa semua manusia baik Muslim atau Non-Muslim berasal daripada keturunan yang sama, iaitu Nabi Adam dan Hawa.

Kita boleh melakukan perbuatan yang dibenarkan syarak seperti memuji perilaku baik si mati sewaktu hidupnya, menziarahi waris dan memberi ucapan kesabaran sertameringankan beban waris dengan bantuan kewangan. Ia lebih bermakna dalam mengeratkan hubungan sosial berbilang agama dan mengukuhkan perpaduan antara agama. Wallahua'lam.

MOHAMAD RAZIF MOHAMAD FUAD 
Mantan YDP MPP 
Mahasiswa Pengajian Akidah dan Agama tahun 4 2013/2014
Universiti Sains Islam Malaysia 

Sumber: Klik Disini
 
All right reserved to Persatuan Mahasiswa Pengajian Akidah Dan Agama. Template by Perwadah USIM