Tuesday 24 June 2014

MADRASAH RAMADAN MELAHIRKAN GENERASI RABBANI



Alhamdulillah. Tahniah pada al-fadhil ustaz Dr.Zulkifli Al-Bakri atas perlantikannya sebagai Mufti Wilayah Persekutuan. Semoga mendapat keredhaan Allah dan semoga ustaz dapat menjalankan amanah baru ini dengan sebaiknya. Semoga Islam semakin bersinar.

Pada 22/6/2014, Persatuan Pengajian Akidah dan Agama (PERWADAH), dengan kerjasama Surau Al-Hidayah, Desa Pinggiran Bayu, Mantin, Negeri Sembilan telah menjemput ustaz Dr. Zulkfli Al-Bakri untuk sesi kuliah Maghrib bersama beliau. InsyaAllah, artikel kali ini akan berkongsi serba sedikit nota dan catatan ringkas berkenaan apa yang telah beliau sampaikan. Tajuk kuliahnya adalah 'Madrasah Ramadan Melahirkan Generasi Rabbani'. 

Al-Fadhil ustaz Dr. Zulkifli Al-Bakri
Dalam menghadapi bulan Ramadan, kita menggunakan 1001 macam tenaga untuk melalui hari-hari kita. Antara hikmah berpuasa adalah untuk mendapatkan takwa. Selamat kita daripada maksiat, selamat kita daripada apa yang diharamkan Allah. Orang yang bertakwa akan memiliki kejayaan dan kesenangan.

Bila datangnya Ramadan, kita akan ke masjid. Alangkah indahnya andai amalan itu berterusan walaupun setelah selesai bulan Ramadan. Bila datangnya Ramadan, kita akan bangun awal untuk sahur. Sempat nak buat solat tahajud. Alangkah indahnya andai kita boleh istiqamah untuk bangun awal dan tahajud walaupun setelah selesai Ramadan.

Bulan Ramadan melahirkan jenama yang baru iaitu mukmin yang bertakwa. Dan kenapa Allah mewajibkan puasa? Salah satunya adalah kerana untuk MELAPARKAN ORANG-ORANG KAYA. Orang kaya tak pernah rasa lapar. Kenyang sentiasa. Ustaz juga menyebut berkenaan kes adik Firdaus yang dikurung hingga badannya tinggal tulang saja. Dah berapa lama dia tak makan, tapi kita sentiasa dihidang dengan makanan dan sentiasa merasa kenyang!

Jemaah muslimin..
Selain itu, puasa juga bertujuan untuk mengeluarkan kebiasaan manusiawi makan di siang hari. Sepanjang berpuasa, kita tak makan di siang hari. Juga, bilamana Allah taklifkan pada kita ibadah puasa, selalu yang kita alpa adalah MASA! Kita tahu dan sedar aset akhirat kita sedikit, tapi, kita masih banyak membuang masa.

Orang yang tahu hakikat Ramadan, Allah bagi lebih SALE, beratus kali ganda pada dia! Kalaulah orang tahu hakikat Ramadan, mesti dia nak Ramadan tu sepanjang tahun. Penghulu bagi  setiap bulan adalah bulan Ramadan. Bulan Ramadan ni, kita ada solat sunat Tarawih. Tarawih ni sebenarnya tarbiyyatul tarawih. Maknanya, sembahyang santai. Bukan bermaksud kita solat main-main, santai-santai, tapi, solat sunat Tarawih ni adalah solat untuk kita berehat.

Jemaah muslimat..
Antara perkara penting di bulan Ramadan adalah suka menjamu orang yang berbuka puasa.
Dari Zaid bin Khalid Al-Juhanny radhiaAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Barangsiapa yang memberi makan untuk berbuka orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.”  (Riwayat Tirmidzi)

Ustaz juga menceritakan sedikit perihal Imam Malik. 'Ini bulan kitab Tuhanku', kata Imam Malik. Dia pun pergi meninggalkan majlis ilmu. Dia membaca Al-Quran, menghadamnya, mengajar Al-Quran dan berjinak dengan Al-Quran.

Dan, andai ada rezeki lebih, setiap 6 atau 7 tahun, kita kumpullah duit dan buatlah umrah dalam bulan Ramadan. Akhir sekali, pesanan ustaz,  isi bulan Ramadan dengan majlis-majlis ilmu. Contohnya : Kuliah 7 minit ke dan sebagainya.

Penghargaan daripada pihak USIM
Penghargaan buat ustaz Dr. Zulkifli Al-Bakri
Beberapa wakil pelajar USIM, Tahun 2, Pengajian Akidah dan Agama
bersama pensyarah USIM, Dr. Rosmizi.
Bergambar kenangan bersama ustaz Dr. Zulkfli Al-Bakri
Itu sajalah perkongsian secara ringkas berkenaan inti ceramah ustaz Dr. Zulkifli Al-Bakri. Sesungguhnya, ringkasan yang ditulis ini tidak seindah bicara mutiara sebenar yang ternukil daripada bait-bait ceramah ustaz. Namun, atas dasar mahu berkongsi, diharapkan, artikel yang serba ringkas ini ada manfaatnya.

Selamat menjalani ibadah puasa! Moga Allah sampaikan kita pada bulan Ramadan kali ini, hingga ke hari terakhirnya. Mari sama-sama kita tajdid niat keranaNya dan tingkkatkan amalan ketaatan serta tinggalkan amalan kemaksiatan! Moga Allah redha kita.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alahi wasallam bersabda: “Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar/berteriak.  Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata:  “Sesungguhnya aku sedang berpuasa””.  (Riwayat al-Bukhari & Muslim) 


Moga madrasah Ramadan kali ini dapat melahirkan generasi Rabbani, yang hatinya dekat dengan kalam Ilahi (Al-Quran), yang dirinya terikat dengan rumah Ilahi (masjid) dan sentiasa ingat Allah dalam setiap gerak gerinya. Moga puasa kita  bukan sekadar lapar dan dahaga, akan tetapi ada nilai dan diterima olehNya. InsyaAllah.

*Untuk melihat suasana dan gambar sekitar ceramah di Surau Al-Hidayah, boleh Klik di sini
 
All right reserved to Persatuan Mahasiswa Pengajian Akidah Dan Agama. Template by Perwadah USIM