Tuesday, 20 October 2015

KELANGSUNGAN AMALAN TAZKIYAT AL-NAFS: INTROSPEKSI PENGALAMAN TAREKAT NAQSHABANDIYAH KHALIDIYAH YAYASAN PROF. DR. H. KADIRUN YAHYA DI MALAYSIA



KELANGSUNGAN AMALAN TAZKIYAT AL-NAFS: INTROSPEKSI PENGALAMAN TAREKAT NAQSHABANDIYAH KHALIDIYAH YAYASAN PROF. DR. H. KADIRUN YAHYA DI MALAYSIA

Hamidun Mohamad Husin1[1] & Prof. Madya Dr. Mohd. Rushdan Mohd Jailani[2]




Amalan bertarekat adalah sebahagian dari tafsiran dan usaha Tazkiyat al-Nafs. Tarekat Naqshabandiyah Khalidiyah Yayasan Prof. Dr. H. Kadirun Yahya di Malaysia yang mengambil sumber mereka dari amalan serupa dari Medan Indonesia telah menempuh episod sukar mengamalkan apa yang diyakini bersumber dari ajaran Nabi saw. Dengan latar belakang sosio-budaya yang tersendiri, dan dengan kemampuan mereka yang amat terbatas, kumpulan ini menongkah arus perbezaan pandangan yang mungkin memangsakan legasi tradisi turun temurun .

PENGENALAN

Tazkiyah al-nafs adalah salah satu bahagian integral yang tidak dapat dipisahkan dari Islam. Ia adalah rangkai al-Ihsan dari Islam itu sendiri seperti yang tersurat dalam hadis Jibril yang diriwayatkan oleh Saiyidina Umar al-Khattab r.a. Tertanam dan terpahat kukuh di landasan iman dan Islam (syariah), tazkiyah al-nafs mesti selamanya selari dengan kedua-dua dasar tersebut.

Dalam upaya mengamalkan tazkiyah al-nafs dan ajaran Islam secara keseluruhannya, sejarah telah melihat bagaimana dalam kurun ke 3 Hijrah muncul istilah tarekat yang tidak pernah dikenal sebelumnya. Satu persatu tarekat telah muncul dalam usaha menterjemah dan mencerna tazkiyah al-nafs. Seiring perjalanan zaman sebahagiannya berevolusi manakala sebahagian yang lain hilang ditelan zaman; sebahagiannya agak tersohor di seluruh pelusuk tanah umat Islam manakala sebahagian yang lain mungkin agak terhad perdaerahan lokalitinya. Antara tarekat besar yang dikenal adalah al-Qadiriyah, al-Rifa’iyah, al-Syaziliyah, al-Ahmadiah, al-Naqshabandiyah dan lain-lain.

TAREKAT NAQSHABANDIYAH KHALIDIYAH YAYASAN PROF. DR. H. KADIRUN YAHYA DI INDONESIA.

Tarekat Naqshabandiyah Khalidiyah Yayasan Prof. Dr. H. Kadirun Yahya adalah ranting kecil dari Naqshabandiyah yang terdapat di seluruh dunia Islam.[3] Ia memperakukan berpegang dengan mazhab akidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jamaah dan bermazhab fiqh Shafie. Menurut Prof. Dr. KH. Djamaan Nur[4], tarekat Naqshabandiyah yayasan ini secara umumnya tidaklah berbeza dengan tarekat Naqshabandiyah yang dikenal umum kerana persamaan-persamaan pokok-pokok dasar dan amalannya. Di saat Shaikh Baha’ al-Din al-Naqshabandi menduduki urutan ke 15 dalam silsilah tarikat ini, Prof Kadirun Yahya sendiri berada jauh di bawah pada tangga ke 35.[5]

Ia berpusat di Medan Sumatera utara, dan di Sawangan, Jakarta. Di Indonesia sendiri, adalah difahamkan ia agak kurang dikenali. Walaubagaimanapun, tarekat ini mengakui mempunyai sebanyak 644 pelbagai kategori tempat zikir di seluruh Indonesia, 15 seumpamanya di Malaysia dan satu cawangan di Amerika Syarikat.[6]

Prof. Kadirun Yahya menerima pendedahan awal tarekat dari keluarganya yang memang dalam lingkungan tarekat Naqshabandiyah Khalidiyah[7]. Ini ditambah dengan perguruannya kemudian dengan Shaykh Shahabuddin Sayur Matinggi, Maulana Sidi Shaykh Abdul Majid Tanjung Alam dan terutama sekali Shaykh Muhammad Hashim Buayan yang kesemuanya adalah dari aliran Naqshabandiyah Khalidiyah Jabal Qubays, Makkah al-Mukarramah.

Bermula 1952 selepas diijazahkan sebagai shaykh tarekat oleh Shaykh Muhammad Hashim Buayan, dia telah memimpin anak-anak muridnya sehinggalah beliau kembali ke Rahmatullah pada 9 Mei 2001[8], pada usia 84 tahun di Jakarta dan telah disemadikan Arco, Depok Jakarta. Kepimpinan tarekat dan yayasan ini kemudian diteruskan oleh anak-anaknya, Drs. H. Saidi Shaykh Iskandar Zulkarnain[9] pada 2001, dan kemudian Saidi Shaykh Abdul Khaliq Fajduani[10] pada 2005. Meskipun demikian, tanda nama pengenalan tarekat sehingga kini masih dikekalkan di atas nama Yayasan Prof. Dr. Kadirun Yahya.

Prof. Kadirun Yahya secara peribadi terkenal dengan cerita-cerita luar biasanya seperti kejayaannya mengusahakan kesembuhan penyakit kronik[11], sikap kontranya terhadap ilmu hitam, mistik dan sebagainya. Ciri eccentrik lainnya ialah menghujah kebenaran tasawuf dan tarekat menggunakan pendekatan dan istilah sains. Antara lain beliau menggunakan istilah ‘frekuensi tak terhingga’ bagi menggambarkan peri pentingnya murshid dalam kehidupan dengan ilustrasi sebuah litar elektrik, berhubung dengan Allah itu memerlukan ‘gelombang’, ‘frekuensi’ atau ‘channel’ seumpama perlunya untuk mendapat sesuatu siaran televisyen[12] .Ciri eccentric ini selain memberi kelebihan kepada Prof. Kadirun dalam sesi-sesi penjelasan tasawuf dan tarekat yang difahami dan dibawanya, ia juga telah mencetuskan kebimbangan yang bukan sedikit di kalangan mereka yang tidak dapat menerima gagasan pemikirannya.



Kecenderungan umum ini, walaubagaimana pun dapat dilihat telah berubah di era para penerusnya. Sebagai contoh, tidak pernah dilihat cuba ‘memadamkan’ kecenderungan yang ada pada masa ayahandanya (yang sebahagiannya tersurat dalam sejumlah makalah ilmiah dan pembentangan seminar), kepimpinan Saidi Shaykh Abdul Khaliq Fajduani kini dapat dilihat lebih mengutamakan soal ‘Akhlakul Karimah, Peribadi Muslim Kaffah, Pemahaman Quran Secara Tematik’ dan lain-lain dalam kursus-kursus yang diberikan kepada anak-anak muridnya.

Susuk tubuh Prof. Kadirun (1917-2001) sendiri, selain sebagai murshid of Naqshabandiyyah Khalidiyyah pimpinannya dan pengelibatan dalam bidang sosial dan kebudayaan Indonesia, beliau juga terlibat dalam ketenteraan[13], dan keusahawanan/industri[14] Selepas kemerdekaan, beliau berkecimpung dalam akademia bidang fizik di beberapa universiti sebelum mendirikan kompleks pendidikannya sendiri[15] yang menempatkan beberapa institusi pendidikan dari pra- sekolah sehinggalah ke menara gading iaitu Universiti Pembangunan Panca Budi (UNPAB).

Sehingga kini, secara umum tarekat dan yayasan ini melibat usaha-usaha:
1. mendokong dan mendidik tasauf dan tarekat dengan method Naqshabandiyyah Khalidiyah.
2. membangun aspek-aspek kerohanian dalam masyarakat terutama golongan muda yang ‘sesat’, ‘school drop-out ‘, ketagih dadah dan alkohol, kenakalan remaja, disamping memberi pendidikan formal dan informal sewajarnya[16].
3. bidang kerja sosial, ketatanegraan, penentangan terhadap atheism, communism etc.
4. membantu pengamal perubatan; antara lain dalam kes-kes hati/ paru-paru bernanah (abscess), penyakit berkaitan dadah (narcotic), kanser, buasir (hemorrhoids), tumor, batu hempedu (gallstone), AIDS, dan pelbagai penyakit ganjil yang sukar dirawat secara medikal di bidang perubatan[17].


TAZKIYAT AL-NAFS MENURUT YAYASAN PROF. DR. H. KADIRUN YAHYA


Berasaskan perakuan bahawa tarekat ini tidak berbeza dasar dan ajarannya dengan tarekat Naqshabandiyah yang dikenal umum, tazkiyat al-nafs yang dikendong yayasan ini secara dasar menepati pandangan-pandangan yang disepakati & yang diperselisihkan ulamak dalam tradisi pengajian tasawuf secara umum, & secara khususnya dalam ruang lingkup perbahasan tradisi Naqshabandiyah[18].

Ini dapat dilihat secara sistematik di dalam karya Prof. KH. Djamaan Nur yang memperihalkan tasawuf dan tarekat pimpinan Prof. Kadirun, antara lain menyangkut tingkatan-tingkatan latihan rohani – Takhalli, Tahalli & Tajalli; perbahasan tentang Taubah; Suluk; Zikrullah (termasuklah Zikr Ismu al-Zat, Zikr Lataif (Ruh, Sir, Khafi, Akhfa, Natiqa, Kullu Jasad), Zikr Nafi- Ithbat, Zikr Wuquf, Zikr Muraqabah, Zikr Tahlil Lisan, Zikr Tawajuh); Mushid; Wasilah & Rabitah, dan dasar-dasar Akhlak Islamiah yang lain[19].


Apa yang dapat diperhatikan dari beberapa penulisannya[20], Prof. Dr. H. Kadirun Yahya amat menekankan keperluan tazkiyat al-nafs dengan metod tarekat yang diistilahkannya sebagai frekuensi, frekuensi tak terhingga, channel, gelombang, Teknologi al-Quran, wasilah, nurun ‘ala nurin (rabitah- dalam bahasan klasik tarekat) yang terdapat dalam diri rohani Rasulullah yang kemudian diteruskan para pewarisnya. Tidak hanya didokong oleh Quran dan Hadis, keterangan tentang tasawuf disajikan dengan bukti sains fizik klasik yang diistilahkannya sebagai ‘ilmu eksakta’ (exact science) - yang antara lain telah menjadi alasan penolakan mereka yang tidak dapat menerimanya.

Usaha mengangkat idea dan agenda memartabatkan tasawuf menerusi pendekatan baru ini didokong sepenuhnya dengan berjalannya program pengajian Studi Kerohanian & Metafisika, Jurusan Filsafat Islam, Fakultas Filsafat, UNPAB.


KEMASUKAN TAREKAT NAQSHABANDIYAH KHALIDIYAH YAYASAN PROF. DR. H. KADIRUN YAHYA KE MALAYSIA

Kumpulan tarekat ini mula muncul di Malaysia seawal tahun 60an[21] atau 70an[22]. Ini berlaku melalui lawatan-lawatan Prof. Kadirun Yahya dan anak-anak muridnya ke Malaysia selain hubungan yang sedia terjalin antara penduduk kedua negara sebelum dan selepas Konfrontasi Indonesia-Malaysia 1958. Secara perlahan-lahan tarekat ini mendapat ikutan[23].

Dari tahun 1976 hingga 1979, saban tahun Prof. Kadirun telah berkunjung ke Malaysia. Dalam lawatan terakhir pada 1979, beliau dikatakan menetap selama lebih kurang 40 hari dengan menyewa sebuah rumah di Kg. Melayu, Petaling Jaya, Selangor. Namun dalam perkembangan yang agak drastik tahun berikutnya, atas nasihat sesetengah pihak di Pejabat Konsulat Malaysia di Medan, lawatannya yang diatur pada 1980 telah dibatalkan setelah kedengaran khabar angin menyatakan beliau tidak akan dibenarkan masuk ke Malaysia.

HUBUNGAN DENGAN MEDAN

Tidak seperti kumpulan lain yang mempunyai mushid yang berwewenang penuh di tanah air Malaysia, kumpulan ini walaupun mempunyai autonominya dalam menjalankan aktiviti, mereka tetap merujuk kepada murshid mereka di Medan. Mereka memilih untuk bergerak selari dengan ikhwan lainnya di seluruh Indonesia (dan dunia). Untuk memudahkan komunikasi dan urusan pentadbiran mereka memilih untuk mempunyai nama & struktur organisasi yang sama. Ini dapat dilihat dengan penggunaan sepenuhnya nama dan struktur Badan Kerjasama Surau (BKS) dan Badan Koordinasi Kesurauan (BKK) yang mengambil contoh struktur ikhwan mereka di tempat asal tarekat ini.

Atas dasar ini, kebanyakan aktiviti yang dijalankan di Surau Muhamadil Amin, Rawang dan surau–surau lainnya di Malaysia didapati adalah amat menyamai aktiviti-aktiviti yang dijalankan di Masjid/Surau Darul Amin Medan, Universiti Panca Budi dan tempat zikir lainnya di seluruh Indonesia. Malah sebagaimana lazim menurut ‘adabiah’dan kebiasaan mereka yang bertarikat, menziarahi murshid dikalangan ikhwan tarekat ini adalah sangat lumrah dan acap.




PERJALANAN PERAMALAN TARIKAT

Beberapa orang murid kanan Prof. Kadirun telah memainkan peranan penting dalam perjalanan ‘peramalan’ ini di Malaysia. Abang Hasan Bakhtiar[24], Abang Teuku Abdul Hamid, Haji Mohd. Shariff Ali, Haji Kamaruddin Haji Ibrahim dan Prof. Datuk Mohd Nor Marahakim, Abang Zakaria Ma’ruf adalah antara nama mereka yang terawal mendokong keberadaan amalan ini di Malaysia.
.

Tarekat ini bertapak di lembah Klang sebelum berkembang ke kawasan-kawasan yang lain. Di luar lembah Klang, Johor dan Kelantan adalah antara tempat terawal tarekat ini bertapak dan masih kekal sehingga hari ini.

Pada peringkat permulaan majlis Tawajjuh dari rumah ke rumah diadakan pada setiap Isnin dan Khamis. Antara 2 hingga 4 rumah akan mengadakan majlis tersebut secara serentak di sekitar Kuala Lumpur[25]. Staus quo ini berkekalan sehingga sekitar tahun 1976 apabila inisiatif membina surau dimulakan. Majlis tawajjuh dan suluk kemudiannya telah diadakan di surau.

Berdasarkan kebiasaan di Indonesia yang menjadi ikutan di Malaysia, surau lebih sering digunakan untuk majlis tawajjuh atau suluk sahaja. Untuk mencari ilmu syariat dan ilmu-ilmu lainnya, pengikut disaran mencari yang banyak boleh diperolehi di ‘luar surau’. Mengikut keterangan pihak pengurusan surau ini, apa yang terjadi ialah mereka sukar mencari penceramah bagi program-program yang diatur sempena Maal Hijrah dan lain-lain, seringkali atas faktor latar belakang mereka sebagai pihak penganjur[26].

Membandingkan Naqshabandiyah Khalidiyah Yayasan ini dengan yang seumpama dengannya[27], didapati tidak terdapat perbezaan besar dari segi amalan dan bacaan yang diamalkan dalam Khatam tawajjuh & suluk. Secara umum, bacaan asas dalam khatam ialah surah al-Fatihah (7 kali), Selawat Nabi (100 kali), Surah Alam Nashrah (79 kali), Surah al-Ikhlas (1001 kali), Surah al-Fatihah (7 kali), Selawat Nabi (100 kali). Perbezaan antara perguruan-perguruan Naqshabandiyah ini, sekiranya ada adalah sangat minimal[28].

Ini dapat dipastikan berdasarkan pemerhatian, perbincangan dengan mereka yang berkenaan atau perbandingan penulisan yang dapat dikaitkan dengan kumpulan-kumpulan ini di Malaysia. Malah Martin Van Bruinessen yang dilihat agak kritikal terhadap Prof. Kadirun (terutama pendekatan ilmu eksakta & cerita-cerita keajaiban), tanpa kritik seakan menerima amalan dan bacaan seperti di atas sebagai baku di kalangan perguruan Naqshabandiyah Khalidiyah Nusantara yang berbeza[29].

TEMPAT ZIKIR

Sejak dari awal 70-an sehingga kini Surau Muhammadil Amin, Rawang merupakan pusat utama kumpulan ini di Malaysia. Usaha pembinaannya telah dilakukan secara berdikit-dikit pendokong tarekat ini, kebiasaanya pada hujung minggu dan kelepasan am.

Kini Yayasan Prof. Kadirun Yahya mempunyai 15 tempat zikir, dengan hanya 4 sahaja dari 10 surau tersebut[30] dibenarkan untuk mengadakan I’tikaf (suluk)[31] pada tarikh yang telah ditetapkan. Selain itu terdapat 5 tempat zikir lain yang bertaraf Pos[32].


DEMOGRAFI PENDOKONG & IMPAK AMALAN ZIKIR

Menurut murid kanan tarekat ini yang ditemui, bilangan ahli tidak dapat ditentukan dengan pasti.[33]Ramai datang menunjukkan minat dan mengambil bai’ah, dari bilangan sekecil 5 orang hinggalah seramai 20 orang dalam satu-satu majlis bai’ah. Menurut Haji Zakaria Ma’ruf, memandangkan ‘peramalan’ ini adalah atas kerelaan hati dan dorongan dalaman individu, yang boleh dianggap ‘ahli tariqah’ adalah mereka yang tekal menghadiri ‘tawajjuh’ ke surau’[34].

Berdasarkan keterangan lisan pengikut dan pemerhatian, keahlian adalah merentas strata sosial-ekonomi masyarakat Malaysia dari pekerja am hinggalah kepada mereka ‘yang bergelar’. Keterangan lisan pengikut mensabitkan sejumlah VVIP[35] dahulu dan sekarang, termasuk ahli-ahli poltik menyertai tarekat ini. Menurut salah seorang pendokong tarekat ini, keadaan semasa ketika itu dengan keanggotaan yang dianggap besar, pengelibatan sebilangan ahli yang berpengaruh selain anggota pasukan keselamatan termasuk keupayaan mempunyai pusat (surau) kegiatan yang tersusun dianggap satu ancaman kepada negara telah menyebabkan tarekat ini kemudiannya diharamkan[36].

Secara umum pemerhatian mendapati bahawa para pengikut dan pendokong tarekat ini adalah di kalangan masyarakat awam yang rata-ratanya tidak berpendidikan agama formal. Keadaan ini meliputi kedua-dua kelompok pendokong & pengikut biasa. Para pengamal di sini didapati bersikap tenang dan amat menjauhi perdebatan. Suasana hingar suara manusia adalah suatu yang amat asing di persekitaran surau Muhammadil Amin Rawang, meskipun dentingan dari kilang bersebelahan sekejap-sekejap tetap saja kedengaran. Setiap tetamu akan dilayan sebaik mungkin dan dengan penuh hati-hati. Kebersihan dan keteraturan secara spesifik amat dititik beratkan. Perincian-perincian sebegini, selain dinilai sebagai kesan langsung kepengurusan Yayasan Prof. Kadirun Yahya dan surau-suraunya sejak sekian lama, ia dapat ditanggap sebagai buah (ketenangan) dari amalan zikir yang dijanjikan Allah – ألا بذكر الله تطمئن القلوب .



CABARAN TERHADAP KELANGSUNGAN PERAMALAN TARIKAT

Cabaran terhadap kelangsungan peramalan ini berlaku apabila Jemaah Ulama Majlis Agama Islam Kelantan pada 1978 dan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia pada 1981 membuat keputusan mengharamkan ajaran tarekat ini[37].

Pengharaman tarekat ini diterima oleh para pendokongnya di dalam negara dengan penuh kegusaran. Walaubagaimanapun kepimpinan silih berganti dari Prof. Kadirun Yahya, Drs. H. Saidi Shaykh Iskandar Zulkarnain dan kemudiannya Saidi Shaykh Abdul Khaliq Fajduani, telah membimbing mereka untuk akur dengan ketetapan mahupun sekatan dari pihak berkuasa. Majlis Tawajjuh mingguan dan Suluk berkala ‘digantung’ untuk tempoh beberapa lama. Mereka juga akur untuk menghadiri siri kursus pemulihan yang dikendalikan pihak Jabatan Agama Islam Selangor.
Keakuran mereka sebelum itu telah terjelma dengan kerjasama yang diberikan kepada anggota Bahagian Khas (Special Branch) pasukan keselamatan negara dan penguatkuasa agama yang datang dari masa ke masa. Sebarang perkumpulan yang akan diadakan dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak berkuasa yang berkenaan bagi mengelakkan salah faham.

Tindak balas non-resistence ini bertitik tolak kepada keyakinan yang dipertekankan oleh para Murshid mereka bahawa ‘sedangkan ayat al-Quran pun dikhilafkan oleh umat Islam terdahulu, apatah lagi kita pada zaman ini’[38]. Penyelesaian konflik seharusnya mengambil cara yang bertamadun & sedamai mungkin.


KESIMPULAN

Walaupun menghadapi kesukaran mengamalkan apa yang mereka yakini adalah ajaran benar dari Nabi saw, para pengamal tarekat Naqshabandiyah Khalidiyah Yayasan Prof. Dr. H. Kadirun Yahya ini berusaha untuk tidak terheret ke dalam konflik tidak terkawal dengan pihak berkuasa. Walaupun agak terhimpit selama beberapa waktu, kesabaran dan tidak hilang pertimbangan dalam menghadapi perselisihan pandangan dan konflik telah menjadi jiwa dan nadi survival mereka hingga hari ini.


BIBLIOGRAFI

2004. 5th ed. Himpunan Ajaran, Amalan dan Fahaman Yang Tekah Difatwa dan Diwartakan Menyeleweng dan Sesat Dalam Negeri Selangor. N. Pl : n.Pb. p.

Ajaran Sesat: Satu Ancaman Terhadap Keselamatan Negara. Ed. Burhanudin Abd Jalal. Kuala Lumpur: Kor Agama Angkatan Tentera.

Bruinessen, Martin Van. 1995. Tarekat Naqshabandiyah di Indonesia: Survei Historis, Geografis & Sosiologis. Bandung: Mizan

Djamaan Nur, Prof. Dr. KH. 2004. Tasawuf Dan Tarekat Naqsyabandiyah Pimpinan Prof. Dr. Saidi Shaykh Kadirun Yahya. Medan: USU Press.

Farawahida Mohd Yusof. 2007. Aliran Kepercayaan: Sejarah Dan perkembangannya di Malaysia. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.

Haji Mat Isa Mat. Temubual pada 16 Mei 2010 di Surau Muhammadil Amin, Rawang, 10 pm.
Haji Mohd Shahrer Mohd Nazar. Temubual pada 10 Mei 2009 di Surau Muhammadil Amin Rawang, 10 pm


Haji Zakaria Ma’ruf. Temubual pada 20. Sept 2010. Surau Muhammadul Amin Rawang. 10 pm.

Jabatan Mufti Negeri Melaka, 2005, Himpunan Warta Kerajaan Negeri Melaka (1986 - 2005). Melaka: Jabatan Mufti Negeri Melaka.

n.a. 1990. Penjelasan Terhadap Tarikat Naqshabandiah Pimpinan Prof. Kadirun Yahya .n.pl: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

n.a. 2003. Silaturahmi Tharekat Serumpun Naqshabandiyah al-Khalidi: Asrama Haji Pengkalan Mansyur Medan. Medan: Yayasan Prof. Dr. H. Kadirun Yahya.

Yahya, Kadirun, Prof. DR. H. 1981. Capita Selecta Tentang Agama Metafisika Ilmu Eksakta. Jilid I. Medan : Fakultas Ilmu Kerohanian & Metafisika, Universitas Pembangunan Panca Budi
.
Yahya, Kadirun, Prof. DR. H. 1981. Isra’ Mi’raj Rasululllah SAW Di tinjau Dari Sudut Fisika-Eksakta. Medan: Lembaga Ilmiah Metafisika Tasauf Islam (LIMTI), UNPAB.

Yahya, Kadirun, Prof. DR. H. 1982. Ibarat Sekuntum Bunga Dari Taman Firdaus . Medan : Fakultas Ilmu Kerohanian & Metafisika, Universitas Pembangunan Penca Budi,

Yahya, Kadirun, Prof. DR. H. 1989. Teknologi al-Quran (Teknik Munajat Kehadirat Allah SWT). Medan : Lembaga Ilmiah Metafizika Tasauf Islam (LIMTI).



Nota akhir:

1. Pensyarah Jabatan Usuluddin, Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

2. Prof. Madya di Fakulti Pengurusan & Kepimpinan (FKP) & Pengarah, Asean Centre For Research On Drug Abuse (ACREDA), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

3. Ia adalah cabang Khalidiyah dari Tarekat Naqshabandiyah di bawah Pimpinan Prof. Kadirun Yahya (w. 2001). di Indonesia. Penamaan Naqshabandiyah Khalidyah Yayasan Prof. Dr. H. Kadirun Yahya dalam konteks kertas kerja ini adalah untuk memudahkan pengenalan sekaligus membezakannya dengan cabang-cabang lain seumpamamya seperti Naqshabandiyah Khalidiyah dari jalur Besilam (Babussalam) Kabupaten Langkat, Sumatera Utara, Indonesia dan lain-lain yang boleh ditemui di seluruh negara. Ia adalah bagi mengelakkan panggilan nama Tarekat Kadirun Yahya yang umumnya tidak disenangi pendokong tarekat ini. Nama Yayasan Prof. Dr. H. Kadirun Yahya muncul pada tahun 1980 selepas penamaan semula Yayasan Akademi Metaphysika yang ditubuhkan Prof. Kadirun pada 1956 di Medan, Sumatera Utara, Indonesia.

4. Profesor Madya di IAIN Raden Fatah (kini UIN), Palembang & Bengkulu, Indonesia yang pernah melakukan penyelidikan lapangan dan pembentangan ilmiah tentang tarekat pimpinan Prof. Kadirun dan merupakan seorang pengamal tarekat.

5. Prof. Dr. KH Djamaan Nur. 2004. Tasawuf Dan Tarekat Naqsyabandiyah Pimpinan Prof. Dr. Saidi Shaykh Kadirun Yahya. Medan: USU Press. Hlm. 7.

6. Prof. Dr. KH Djamaan Nur. 2004. Tasawuf Dan Tarekat Naqsyabandiyah Pimpinan Prof. Dr. Saidi Shaykh Kadirun Yahya. Medan: USU Press. hlm.350-351.

7. Keluarganya dikatakan rapat dengan kepimpinan tarekat Naqshabandiyah Khalidiyah Besilam (Babussalam) Kabupaten Langkat, Sumatera Utara, Indonesia. Bapa mertuanya pula ialah K.H Jalalauddin yang terkenal sebagai antara tokoh Naksyabandiyah pada zamannya.

8. Ulasan Balas Terhadap 8 Persoalan Yang Diminta Penjelasan Oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Berkaitan Peramalan Ath Tharikat An Naqsyabandiyyah al-Khalidiyyah Pimpinan YM Prof. Dr. Haji S.S Kadirun Yahya. hlm.10.

9. Dinamakan sebagai penerus kepimpinan tarekat pada 1998.

10. Dinamakan sebagai penerus kepimpinan tarekat pada Bulan November 2004.

11. Antaranya kisah luar biasa menghidupkan orang yang telah mati, yang kemudiannya sebagaimana dijelaskan semula oleh anaknya Saidi Shaykh Iskandar Zulkarnain kepada Martin Van Bruinessen bahawa apa yang berlaku ialah pesakit tersebut dianggap telah mati secara perubatan, dikeluarkan dari ICU (Intensive Care Unit) dan dibawa pulang kerana diangagp tiada harapan sembuh. Lihat Martin Van Bruinessen. 1995. Tarekat Naqshabandiyah di Indonesia: Survei Historis, Geografis & Sosiologis. Bandung: Mizan. hal. 149.

12. Prof. Dr. H.. Kadirun Yahya. 1981. Isra’ Mi’raj Rasululllah SAW Ditinjau Dari Sudut Fisika-Eksakta. Medan: Lembaga Ilmiah Metafisika Tasauf Islam (LIMTI), UNPAB, p. 9.

13. Beliau terlibat langsung dalam penentangan terhadap Belanda & Komunis dengan pangkat terakhirnya sebagai Special Assistant /Active Colonel Dirbinum Hankam.

14. Dalam bidang agro-perniagaan, beliau memiliki ladang-ladang penternakan (lembu, kambing dan sebagainya) selain ladang pertanian dengan keluasan hampir 100 ha. (kelapa sawit, epal dan sebagainya). Dalam bidang kepandaian tangan beliau menceburi dalam meubel dan bengkel. Dia juga mempunyai kedai elektrik selain beberapa kedai dan sebuah agensi pelancongan yang mempunyai jaringan antarabangsa. Dia juga menceburi bidang kajian industri kimia fizik bagi penghasilan air mineral yang menggunakan teknik yang mesra alam (tidak menjejaskan ozone) pada kos yang relatif berpatutan, dengan tanda niaga AMINSAM di pusat penghasilannya di Medan and Jakarta. Penemuan lainnya ialah penghasilan pengilat kasut kalis api dan sumbangan dalam penghasilan kulit tiruan. Lihat n.a. 2003. Silaturahmi Tharekat Serumpun Naqshabandiyah al-Khalidi : Asrama Haji Pengkalan Mansyur Medan.. Medan: Yayasan Prof. Dr. H. Kadirun Yahya, p. 4.

15. Terletak di Jalan Jend. Gatot Subroto, KM 4 ½, Kotak Pos 1099, Medan, 20120, Sumatera Utara, Indonesia.

16 Sebagai murshid tarekat pimpinannya, ramai anak murid diambil sebagai anak angkat (lelaki dan perempuan yang diistilahkan sebagai ‘anak surau’ atau ‘Ansor’ dikalangan pendokong yayasan ini) yang dibiayai dengan belanja sendiri. Selain turut menyumbang bantuan kepada anak yatim, taman asuhan kanak-kanak dan rumah orang-orang tua.

17. Beliau diberitakan telah membantu ramai pesakit dan individu-individu mengidap sakit ringan dan berat, semuanya dengan bantuan Allah Taala, di klinik pengubatannya di surau-surau seliaan Yayasan ini dan premis-premis lain. Lihat Prof. Dr. KH Djamaan Nur. 2004. Tasawuf Dan Tarekat Naqsyabandiyah Pimpinan Prof. Dr. Saidi Shaykh Kadirun Yahya. Medan: USU Press. hlm. 338.

18. Yayasan memperakukan kesemua 11 Dasar Naqshabandiyah yang disepakati iaitu Huwasy Dardam, Nazar Barqadam dan seterusnya (8 dari Shaykh Abdul Khaliq al-Ghujdawani & 3 dari Shaykh Baha’ al-Din Naqshabandi).

19. Lihat keseluruhan Bab V dari buku Tasawuf Dan Tarekat Naqsyabandiyah Pimpinan Prof. Dr. Saidi Shaykh Kadirun Yahya karya Prof. Dr. KH Djamaan Nur. 2004, cetakan Medan: USU Press. hlm 177-336.

20. Seperti bukunya Capita Selecta Tentang Agama Metafisika Ilmu Eksakta. Jilid I, II & III; Ibarat Sekuntum Bunga Dari Taman Firdaus; Teknologi al-Quran (Teknik Munajat Kehadirat Allah SWT). & Isra’ Mi’raj Rasululllah SAW Di tinjau Dari Sudut Fisika-Eksakta.

21. Sumber Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Farawahida Mohd Yusof. 2007. Aliran Kepercayaan: Sejarah Dan perkembangannya di Malaysia. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.; n.a. Penjelasan Terhadap Tarikat Naqshabandiah Pimpinan Prof. Kadirun Yahya .n.pl: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. hlm.2.

22. Jabatan Mufti Negeri Melaka, 2005, Himpunan Warta Kerajaan Negeri Melaka (1986 - 2005). Melaka: Jabatan Mufti Negeri Melaka.; n.a. 2004. 5th ed. Himpunan Ajaran, Amalan dan Fahaman Yang Tekah Difatwa dan Diwartakan Menyeleweng dan Sesat Dalam Negeri Selangor. N. Pl : n.Pb. p.

23. n.a. Penjelasan Terhadap Tarikat Naqshabandiah Pimpinan Prof. Kadirun Yahya .n.pl: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. hlm. 2.


24. Dikalangan ikhwan yayasan ini, panggilan ‘Abang’ dan ‘Kakak’ digunakan sebagai panggilan hormat

25. Haji Zakaria Ma’ruf. Temubual pada 20. Sept 2010. Surau Muhammadul Amin Rawang.

26. Hj. Mohd Shahrer Mohd Nazar. Temubual pada 10 Mei 2009 di Surau Muhammadil Amin Rawang, 10 pm.

27. Naqshabandiyah Khalidiyah di Dong, Raub Pahang yang kini antara lain dipimpin Tuan Guru Dr. Jahid Sidek dan Ustaz Mohd. Faizal.

28. Sementara Naqshabandiyah Khalidiyah di Dong, Raub Pahang yang mengambil sumber mereka dari Tuan Guru Abdul Wahab Rokan di Babussalam, Langkat Sumatera Utara – menggunakan sejenis kain nipis berupa serban atau seumpamanya untuk diselubungkan di kepala ketika bezikir, Naqshabandiyah Yayasan Kadirun Yahya berpada dengan hanya memejamkan mata sahaja. Sedikit perbezaan juga mungkin berlaku dalam soal bilangan bacaan yang dilakukan.

29. Martin Van Bruinessen. 1995. Tarekat Naqshabandiyah di Indonesia: Survei Historis, Geografis & Sosiologis. Bandung: Mizan. pp. 85-86.

30. Surau dalam konteks penggunaan istilah di sini merujuk kepada tempat zikir yang dimiliki oleh Yayasan secara sah menurut undang-undang. (Sama ada pemilikan menerusi pembelian atau wakaf). 4 surau berkenaan adalah :

1. Surau Muhamadil Amin (SMA) , Rawang, Selangor.
2. Surau Ar-Rahman, Kempas Baru, Johor Bahru, Johor.
3. Surau Ar-Rahim, Kota Bahru, Kelantan.
4. Surau Baitussalam, Kemaman, Terengganu.

Surau-surau yang lain adalah:
1. Surau Ziyadatur Rahmah, Seremban, Negeri Sembilan.
2. Surau Bustanul Jamil, Lanchang, Pahang.
3. Halqatul Amin, Peringit Jaya, Melaka.
4. Batul Rahimullah, Setiu, Terengganu.
5. Baitul Taqwa, Rengit, Batu Pahat, Johor.
6. Futuhur Rahman, Taiping, Perak.

Baki tempat zikir bertaraf pos adalah :
1. Pos Raudhatul Amin, Petaling Jaya, Selangor.
2. Pos Baitul Jamil, Banting, Selangor.
3. Pos Darunnajah, Gunong, Alor Star, Kedah.
4. Pos Miftahul Jannah, Selekoh, Perak.
5. Pos Attaqwa, Kuching, Sarawak.

31. I’tikaf atau suluk dalam amalan tarekat ini kini adalah amalan melakukan zikir secara intensif bagi tempoh 10 hari di suatu tempat khas dengan tatacara dan peraturan tertentu.

32. Pos adalah tempat zikir yang dimiliki pendokong atau pengikut dan telah mendapat keizinan Murshid bagi diadakan majlis zikir.

33. Haji Zakaria Ma’ruf. Temubual pada 20. Sept 2010. Surau Muhammadul Amin Rawang. Didalam sebuah buku terbitan Kor Agama Angkatan Tentera, bilangan keahlian mereka dianggarkan melebihi angka 5000 orang, merentasi pelbagai profesyen: doktor, hakim, usahawan, dan anggota pasukan keselamatan. Pengikut boleh didapati di Selangor, Perak, Kedah, Johor, Pulau Pinang, Negeri sembilan, Kelantan, Wilayah Persekutuan, Sabah dan lain-lain. Lihat: n. a . 1995. Ajaran Sesat: Satu Ancaman Terhadap Keselamatan Negara. Ed. Burhanudin Abd Jalal. Kuala Lumpur : Kor Agama Angkatan Tentera. hlm. 100.

34. Haji Zakaria Ma’ruf. Temubual pada 20. Sept 2010. Surau Muhammadul Amin Rawang. Amalan zikir dengan method Naqshabandi Khalidi secara berkumpulan yang biasanya diadakan selepas solat isyak pada hari isnin dan khamis. Tawajjuh juga boleh dijalankan secara bersendirian.

35. Very Very Important Person bertaraf Menteri & Timbalan Menteri, selain keluarga diraja.

36. Haji Mat Isa Mat. Temubual pada 16 Mei 2010 di Surau Muhammadil Amin, Rawang, 10 pm.


37. Lembaran Pengharaman Majlis Agama Islam Kelantan. Ajaran Sesat: Satu Ancaman Terhadap Keselamatan Negara. Ed. Burhanudin Abd Jalal. Kuala Lumpur : Kor Agama Angkatan Tentera. hlm.100-101

38. Hj. Mohd Shahrer Mohd Nazar. Temubual pada 10 Mei 2009 di Surau Muhammadil Amin, Rawang, 10 pm.

6 comments:

 
All right reserved to Persatuan Mahasiswa Pengajian Akidah Dan Agama. Template by Perwadah USIM