Friday, 23 October 2015

DIALOG ANTARA AGAMA: SATU PENGALAMAN DI MALAYSIA


Kertas kerja ini mendedahkan satu pengalaman seorang tokoh penggiat dalam dialog antara agama di Malaysia. Tokoh tersebut ialah ShahKirit Kakulal Govindji. Beliau merupakan seorang tokoh yang aktif dalam mewakili agama Islam dan berpengalaman dalam dialog antara agama. Selain itu beliau turut melibatkan diri di dalam program Dialog Harmoni yang berkonsepkan rancangan ilmiah dan diterbitkan oleh TV Al-Hijrah. Pelbagai usaha dan aktiviti yang dilakukan telah menghasilkan peningkatan kefahaman dan memartabatkan dialog antara agama khususnya di Malaysia. Antara pertemuan yang dihadiri adalah bersama sami-sami Hindu, sami-sami Buddha dan pendeta-pendeta Kristian. Justeru, objektif utama perkongsian pengalaman ini dapat memberikan sumbangan kepada penambahbaikan dalam dialog antara agama di Malaysia.




PENDAHULUAN

Amalan tradisi masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai agama dulunya tidak menghiraukan agama-agama lain. Pada persepsi mereka, dialog antara agama akan mengundang perselisihan dan pergaduhan sesama mereka yang tidak berkesudahan. Lantas mereka mengambil langkah berwaspada dengan menjalani kehidupan beragama tanpa memperdulikan agama yang lain. Padahal, pada waktu yang sama masyarakat tidak menyedari berlakunya dialog antara agama secara tidak langsung atau secara tidak disedari.

Sebagai contoh, pergaulan antara masyarakat Islam dengan masyarakat pelbagai agama di sekolah-sekolah, institusi pengajian tinggi dan di tempat kerja mengundang perbualan dan perbicaraan mengenai keagamaan seperti amalan solat, puasa, zakat, haji dan amalan-amalan lain yang dilihat jelas oleh mereka. Dialog yang ringan dan ringkas sedemikian bukan menjadi halangan kepada kesejahteraan masyarakat pelbagai agama di Malaysia. Kini ianya telah berkembang maju dalam bentuk yang lebih menarik dan harmoni.Justeru, kita dapat lihat di dalam negara, terdapat ramai aktivis dan pertubuhan yang mempelopori dialog antara agama. Malah laungan mereka ini disahut oleh ramai penganut agama lain.Mutakhir ini, dialog sebegini telah diterbitkan dikaca television Malaysia melalui saluran TV Al-Hijrah yang mempamerkan keharmonian beragama di Malaysia.


Bagi mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan agama, isu-isu sensitif tidak dijadikan bahan perbincangan. Sementara, perkara-perkara yang disepakati seperti pemulihan akhlak dalam masyarakat, penjagaan alam sekitar, kesihatan dan seumpamanya dijadikan perbahasan bagi meningkatkan kesedaran dan integriti masyarakat. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa dialog bukanlah suatu perkara baru, malah ia merupakan satu titik permulaan bagi memperkenal dan menambahkan kefahaman terhadap agama-agama lain dalam menyumbang kepada kesejahteraan dan keamanan negara. Justeru, penglibatan individu mahupun pertubuhan dalam merealisasikan dialog harmoni antara agama adalah salah satu daripada usaha mengembang dan menyebarkan syiar Islam kepada masyarakat pelbagai agama.

Kajian bertajuk “Dialog antara Agama di Malaysia: Satu pengalaman di Malaysia” yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM ini adalah bertujuan untuk mendedahkan satu pengalaman seorang tokoh penggiat dalam dialog antara agama di Malaysia iaitu Brother Shah Kirit.


SIAPAKAH SHAH KIRIT DAN APAKAH PANDANGANNYA TERHADAP DIALOG ANTARA AGAMA?

Shah Kirit Kakulal Govindji merupakan seorang tokoh yang aktif dalam mewakili agama Islam dan berpengalaman dalam dialog antara agama. Menyentuh mengenai perihal dialog antara agama di Malaysia, menurut pandangan Shah Kirit Kakulal Govindji selaku Ketua Pegawai Dakwah (IIS) menjelaskan bahawa dialog sedemikian masih kurang penganjurannya. Jika didapati, ia adalah bersifat ‘superficial’ (dangkal). Konsep dialog yang diadakan pula adalah berbentuk ‘toleransi’ di antara satu agama dengan agama yang lain dan tidak bermaksud mengeji dan menghina antara satu sama lain.

Melalui pengalaman beliau dalam dialog antara agama di Malaysia, beliau berpandangan aktiviti-aktiviti dialog antara agama sebegini patut disokong tidak kira mana penganut agama pun kerana ia akan memberikan fahaman yang lebih jelas kepada penganut agama-agama lain daripada terus memberikan persepsi negatif terhadap agama yang lain.


PENAMBAHBAIKAN DALAM DIALOG ANTARA AGAMA

Penceburan Shah Kirit dalam bidang ini bagi mewakili agama Islam memberikan beberapa pengalaman. Walaupun terdapat juga aktivis lain seperti beliau yang terdiri daripada ustaz ataupun ustazah tetapi kebanyakannya tidak dapat mengusai Bahasa Inggeris dengan baik. Begitu juga, kurang kemahiran cara berkomunikasi dengan peserta yang hadir. Manakala masalah seterusnya pula adalah masalah terminology (kosa kata) yang digunakan kurang sesuai kepada masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa. Justeru, mesej yang ingin disampaikan oleh mereka hanya difahami oleh orang-orang tertentu dalam golongan tertentu sahaja.

Demikian juga, secara ringkasnya, idea-idea yang diberikan tidak boleh terlalu bersifat akademik dan tidak pula terlalu lemah dalam penggunaan bahasa dan penyampaiannya. Apa yang terbaik adalah penggunaan bahasa yang mudah difahami dan sederhana konteksnya, agar dapat diterima maklumat yang diberikan kepada para peserta.

Namun begitu apa yang berlaku di Malaysia kini bukanlah dialog antara agama dengan makna perbincangan keagamaan tetapi lebih kepada dialog harmoni. Hal ini adalah kerana ahli-ahli panel yang dijemput hanya lebih berbicara mengenai agama masing-masing dan tidak menyentuh agama lain.




DIALOG HARMONI

Di Malaysia terdapat sebuah rancangan terbaru di TV Al-Hijrah iaitu sebuah program yang berkonsepkan perbincangan keagamaan yang dinamakan sebagai “Dialog Harmoni”. Rancangan ini merupakan kali pertama program dialog yang berkonsep ketuhanan disiarkan. Dialog ini turut menjemput wakil-wakil daripada agama yang berlainan seperti Islam, Kristian, Sikh, Hindu, Buddha dan lain-lain namun tiada jawapan dan maklum balas daripada jemputan untuk wakil agama Kristian. Biarpun wakil daripada agama Kristian tidak menyertai “Dialog Harmoni” tersebut, beliau berpendapat bahawa mereka telah rugi kerana tidak dapat input yang berguna hasil daripada dialog tersebut. Malah ia dilihat sebagai peluang yang adil untuk non-Muslim di Malaysia dalam menyampaikan dakwah mereka kepada penganut-penganut agama lain melalui dialog sebegini.

Selain itu, menurut Shah Kirit, “Dialog Harmoni”memberikan ruang kepada ahli panel untuk bersetuju atau tidak bersetuju dengan agama lain. Biarpun sedemikian, ruang untuk mengadakan dialog harmoni masih dibenarkan untuk dijalankan kerana melalui pendekatan ini, masing-masing akan bercerita mengenai agamanya. Walaubagaimanapun, masalah yang terbesar dalam dialog antara agama ini adalah ketiadaan wakil yang benar-benar boleh memberikan isi yang bernas mengenai agama Islam. Sepatutnya, dialog sebegini diambil peluang untuk menguasai dan merangkumkan sudut-sudut akademik, intelektual, rohani, moral, impak sosial, ekonomi dan pelbagai lagi aspek yang berkaitan.

Di samping itu, menurut Shah Kirit, antara aspek yang paling penting adalah dari sudut ketuhanan (theological aspect) dan dari sudut inilah merupakan kekurangan oleh wakil panel agama Islam yang perlu diperjelaskan. Sebenarnya, Islam dilihat sebagai satu-satunya agama yang merangkumi semua aspek seperti yang disebutkan di atas. Masalah yang dihadapi olehmasyarakat Islam juga adalah kekurangan dari segi psikologi dan istilah yang hendak digunakan. Selain itu, perkara yang paling penting diberikan penekanan adalah penyampaianisi kandungan yang mudah difahami, bukan sahaja dari golongan intelektual malah golongan yang bukan akademik dan sederhana - seperti orang kampung- juga boleh memahami dan menghayati isi penyampaian tersebut. 

Malah kesedaran berdakwah kepada golongan bukan Islam juga sudah mula berkembang luas. Berbanding pada tahun 90-an sewaktu beliau menyampaikan dialog antara agama, lebih 90 peratus masyarakat di Malaysia tidak pernah mendengar mengenainya. Secara umumnya, Shah Kirit mengatakan masyarakat Malaysia pada hari ini dilihat sudah bersedia menerima dialog antara agama dengan pendekatan melalui “Dialog Harmoni”.




KESIMPULAN

Shah Kirit adalah salah seorang individu yang telah memberikan sumbangan yang besar terhadap perkembangan dialog antara agama di Malaysia sejak tahun 90-an. Kewibawaan beliau sebagai pendakwah dan aktivis Islam dalam memertabatkan dialog antara agama menyebabkan beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Dakwah (IIS). Pelbagai pandangan beliau yang membangun dan berguna dianggap sebagai pedoman kepada masyarakat Islam khususnya pendakwah dalam menjalani aktiviti-aktiviti tersebut. Beliau kini sangat berpuas hati dengan penerimaan lapisan masyarakat yang pelbagai agama dalam menghidupkan wacana dialog harmoni antara agama. Oleh demikian, kita sebagai masyarakat Islamyang memegang dan memikul amanah Allah semestinya menyahut dan menyemarakkan dialog seperti ini berteraskan firman Allah SWT:


مَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّـهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ 

Maksudnya: “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya Aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?" (al-Fussilat:33)


Panel Penulis:
Ahmad Najaa' Bin Haji Mokhtar[1]
Muhammad Yusuf Khalid
MohamadNasrin Bin Mohamad Nasir
Khairunneezam Bin Mohd Noor
Muhamad Zaki Bin Mustafa
Nur Husna Binti Mohamad Hussain
Panji Hidayat Bin Mazhisham


Nota Akhir:
[1] Para penulis merupakan kumpulan penyelidik dan pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

42 comments:

  1. E77C5Joseph8CED314 April 2024 at 05:37

    C4D57
    ----
    ----
    ----
    ----
    ----
    ----
    ----
    matadorbet
    ----

    ReplyDelete

 
All right reserved to Persatuan Mahasiswa Pengajian Akidah Dan Agama. Template by Perwadah USIM