Wednesday, 28 November 2012

Jawapan Kepada Tafsiran Puak Wahabi Terhadap Kata-Kata Imam Malik

Golongan wahhabi ini turut menjadikan kata-kata al-Imam Malik yang berikut bagi membuktikan bahawa golongan Salaf (Salafi bukan Wahhabi) beriktikad bahawa Allah itu bersemayam di atas `Arasy dan ini adalah kata-kata al-Imam Malik.

Al-Imam Malik pernah ditanya tentang makna “Istawa” sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi di dalam kitabnya Al Asma’ Was-Sifat[1]:

"يَا أَبَا عَبْد ِاللهِ: الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىْ كَيْفَ اسْتِوَاؤُهُ؟ قَالَ: فَاطُرَقَ مَالِكٌ وَ أَخَذَتْهُ الرَّحْضَاءَ ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ فَقَالَ: الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىْ كَمَا وَصَفَ نَفْسَهُ, وَلا يُقَالُ كَيْفَ وَ كَيْفَ عَنْهَ مَرْفُوْعٌ وَ أَنْتَ رَجُلٌ سُوْءٌ صَاحِبُ بِدْعَةٍ أَخَرَجُوْهُ. قَالَ فَأَخْرُجَ الرَّجُلَ".

Maksudnya:
"Wahai Abu Abdillah: “Ar-Rahman di atas `Arasy istawa”, bagaiman Dia istawa? Maka al-Imam Malik menundukkan kepalanya dan peluh membasahinya, kemudia beliau mengangkat mukanya lalu berkata: “Ar-Rahman di atas `Arasy istawa sepertimana Dia sifatkan diri-Nya dan bagaimana istawa-Nya (kaif) diangkat daripada-Nya (tiada bagi-Nya kaif). Sesungguhnya engkau ahli bid`ah, usirlah dia. Maka lelaki itupun diusir pergi" .



Kata-kata al-Imam Malik ini perlu difahami dengan betul. Ada pihak yang tersilap faham maksud daripada kata-kata al-Imam Malik ini lalu mendakwa bahawa al-Imam Malik mengatakan Allah duduk atau bersemayam di atas `Arasy. Marilah kita melihat tafsiran para ulama’ mengenai kata-kata al-Imam Malik ini.

Maksud kata-kata Imam Malik tersebut bahawa Allah Maha Suci dari semua sifat jisim, seperti duduk, bersemayam, berada si suatu tempat dan mempunyai arah dan sebagainya.

Kata-kata Imam Malik ini perlu difahami dengan betul. Ada pihak yang tersilap faham maksud daripada kata-kata Imam Malik ini lalu mendakwa bahawa Imam Malik, mengatakan Allah ta`ala itu duduk dan bersemayam di atas `Arasy.
Golongan Wahhabi iaitu pengikut Ibnu Taimiyah Al Mujassimah mengubah perkataan Imam Malik dan berhujah dengan golongan Ahlu Sunnah wal Jama`ah dengan menggunakan kata-kata Imam Malik untuk mengatakan Allah duduk di atas `Arasy. Sedangkan dalam kata-kata Imam Malik tidak ada Allah jalasa (duduk) dan riwayat yang mengatakan “Wa al Kaif Majhul” adalah tidak benar dan Imam Malik tidak pernah mengatakannya. Berhati-hatilah dengan golongan Wahhabi kerana mereka mengubah kata-kata ulama` untuk menyebarkan fahaman kufur mereka. Wal`iyyal zubillah….

Kata-kata Imam Malik : “Ar Rahman beristawa di atas `Arasy sepertimana Dia sifatkan Dzat-Nya” : Disini Imam Malik tidak menentukan (ta`yin) makana yang tertentu bagi kalimah istawa sebaliknya menyerahkan makna yang tertentu bagi kalimah istawa sebaliknya menyerahkan makna tersebut kepada Allah Ta`ala dengan beri^`iqad bahawa Allah tidak menyerupai sesuatupun daripada makhluk-Nya. Dalam erti kata lain, apa yang dilakukan oleh Imam Malik ini dinamakan tafwidh (menyerahkan).

Dan maksud kata-kata Imam Malik “tidak ditanya bagaimana (kaif) istawa-Nya dan bagaiaman (kaif) diangkat daripada-Nya” : Bahawa istawa Allah ta`ala itu tanpa mempunyai keadaan atau bentuk tertentu kerana yang mempunyai rupa dan bentuk tertentu adalah makhluk. Ini juga membuktikan bahawa Imam Malik tidak maksudkan dengan kata-katanya “Ar Rahman beristawa di atasa `Arasy” itu bahawa Alla ta`ala itu duduk di atas `Arasy kerana duduk itu mempunyai rupa dan bentuk tertentu.

Al-Imam Malik tidak mengambil zahir sepertimana yang dilakukan oleh golongan yang mendakwa mereka sebagai Salafiyyah yang tokoh utamanya ialah Ibnu Taimiyah Al-Harrani. Di sisi Ibnu Taimiyah dan para pengikutnya mengambil makna istawa ialah dduduk kerana mereka mengambil makna ayat tersebut secara zahir.

Kemudian mereka juga mengatakan bahawa istawa Allah itu mempunyai bentuk dan keadaan tertentu tetapi bagaimana tidak diketahui. Sedangkan golongan salaf sebenar mengatakan bahawa Allah ta`ala itu tidak boleh di bagaiman atau dibentukkan dengan bentuk-bentuk tertentu. Inilah membezakan ibnu Taimiyah dengan golongan salaf yang sebenar.
Dan dapat dilihat bahawa Imam Malik mengingkari pertanyaan lelaki tersebut tentang bagaimana (kaif) istawa Allah itu kerana pertanyaannya menampakkan seolahnya Allah itu istawa dengan bentuk tertentu. Seolahnya lelaki itu berkata “bagaimana “bentuk” istawa Allah itu?. Dan suatu yang dapat “dibagaimanakan” maka bermakna ia suatu yang dapat digambarkan oleh akal fikiran dan suatu yang dapat digambarkan oleh akal fikiran dan suatu yang dapat digambarkan oleh akal fikiran maka ia boleh dikadarkan dalam bentuk tertentu dan suatu yang dapat dikadarkan dalam bentuk tertentu maka menunjukkan ianya adalah makhluk.

Pendapat Ibnu Taimiyah yang mengatakan bahawa Allah itu duduk tetapi kita tidak tahu bagaimana duduk-Nya membuktikan bahawa Ibnu Taimiyah tidak menafikan bahawa Allah itu mempunyai bentuk tertentu tetapi kita tidak mengetahuinya. Sedangkan Ahlu Sunnah wal Jama`ah yang sebenar menafikan bahawa Allah mempunyai bentuk tertentu kerana suatu yang mempunyai bentuk sudah pasti ianya makhluk.

Terdapat satu riwayat tentang kenyataan Imam Malik yang berbunyi:

"وَ الْكَيْفُ غَيْرُ الْمَعْقُوْلِ وَالإِيْمَانُ بِهِ وَاجِبٌ وَالسُّؤَالُ عَنْهُ بِدْعَةٌ".

Maksudnya:
"(Istawa’ itu disebut di dalam al-Quran) Dan kaifiyyatnya tidak ada sama sekali (tidak masuk akal), beriman dengannya adalah wajib dan bertanyakannya adalah bid`ah".

Al-Imam Al-Qarafi mensyarahkan maksud perkataan Imam Malik yang menyebut : "Al-Kaif tidak masuk akal" berkata[2]:

"وَالْكَيْفُ غَيْرُ مَعْقُوْلٍ" مَعْنَاهُ أَنَّ ذَاتَ اللهِ لاتُوْصَفُ بِمَا وَضَعَتْ لَهُ الْعَرَبُ لَفْظَ كَيْفَ, وَهُوَ الأَحْوَالُ الْمُتَنَقِّلَةُ وَالْهَيْئَاتُ الْجِسْمِيَّةُ...فَلا يُعْقَلُ ذَلِكَ فِيْ حَقِّهِ لاِسْتِحَالَتِهِ فِيْ جِهَةِ الرُّبُوْبِيَّةِ".

Maksudnya:
"Al-Kaif tidak masuk akal" maknanya, zat Allah tidak disifati dengan apa yang diletakkan oleh kaedah bahasa Arab dengan lafaz Kaif iaitu (maksud sifat kaif) suatu keadaan-keadaan yang berpindah-pindah (terpisah-pisah) dan suatu keadaan (sifat) kejisiman...Maka tidak masuk akal (mustahil) ianya (Kaif) dinisbahkan kepada Allah kerana ianya (kejisiman dan sifat makhluk) mustahil bagi sifat ketuhanan (Allah ta`ala)" .

Adapun perkataan yang dinisbahkan kepada Imam Malik yang berkata: "Kaif Majhul", maka menurut sebahagian besar ulama`, ianya tidak jelas menunjukkan Imam Malik menetapkan kaifiyyat bagi Allah ta`ala di samping riwayat tersebut lemah jika dikaji dari sudut sanadnya berbanding riwayat yang menyebut: "Kaif ghair ma`qul" iaitu tanpa kaif.
Maka disisi bahasanya, menetapkan kaifiyyat bagi Allah bererti menetapkan ukuran dan kadar batas bagi Allah ta`ala ini bukan pegangan salafus-soleh. Tiada dalam kalangan salaf yang pernah mendakwa Allah ta`ala mempunyai kadar dan kaifiyyat tetapi kita tidak mengetahuinya. Malah, mereka menafikan asal bagi kaifiyyat itu sendiri daripada dinisbahkan kepada Allah ta`ala berdasaarkan perkataan Imam Qarafi radiyallahu`anhu.

Al-Zahabi turut meriwayatkan dengan berkata[3]:

"وَالْمَحْفُوْظُ عَنْ مَالِكٍ رَحِمَهُ اللهُ رِوَايَةُ الْوَلِيْدِ بْنِ مُسْلِمٍ أَنَّهُ سَأَلَهُ عَنْ أَحَادِيْثَ الصِّفَاتِ، فَقَالَ: أَمَرَهَا كَمَا جَائَتْ بِلا تَفْسِيْرٍ".

Maksudnya:
"Diriwayatkan secara terpelihara (sanadnya) daripada Imam Malik dengan riwayat Al-Walid bin Muslim bahawasanya beliau bertanya kepadanya (Malik) tentang hadith-hadith sifat maka beliau berkata:"Laluinya sebagaimana ia tanpa tafsir" .

Al-Imam Al-Qadhi `Iyadh meriwayatkan pendirian Imam Malik r.a. dengan berkata[4]:


"رَحِمَ اللهُ الإِمَامَ مَالِكًا فَلَقَدْ كَرَهَ التَّحْدِيْثَ بِمِثْلِ هَذِهِ الأَحَادِيْثِ الْمُوْهَمَةِ لِلتَّشْبِيْهِ وَالْمُشْكِلَةِ الْمَعْنَىْ".

Maksudnya:
"Semoga Allah merahmati Imam Malik radiyallahu`anhu. Beliau sangat membenci berbicara tentang hadith-hadith yang membawa kesamaran tasybih dan kekeliruan maknanya."

Jelaslah menurut Imam Al-Qadhi Iyad bahawasanya, ada hadith-hadith yang membawa waham tasybih dan maknanya sukar difahami. Apa sebabnya? Ini kerana, berdasarkan makna lafaz-lafaz tersebut dari sudut bahasa, ianya membawa makna kejisiman yang tidak layak bagi Allah s.w.t.. Kalau lafaz-lafaz tersebut perlu difahami dengan makna zahir, maka tidak timbul kekeliruan dan tidak timbul juga prasangka bahawasanya ianya tasybih. Timbul prasangka begitu kerana makna zahir bagi nas-nas mutasyabihat tersebut tidak layak bagi Allah ta`ala.

Al-Imam al-Alusi (W 1270 H) di dalam kitab tafsirnya yang berjudul Ruh Al-Maani dengan menyatakan[5]:

"لَيْسَ نَصًّا فِيْ هَذَا الْمَذْهَبِ لاِحْتِمَالِ أَنْ يَكُوْنَ الْمُرَادُ مِنْ قَوْلِهِ: غَيْرُ مَجْهُوْلٍ أَنَّهُ ثَابِتٌ مَعْلُوْمُ الثُّبُوْتِ لا لأَنَّ مَعْنَاهُ هُوَ الاِسْتِقْرَارُ غَيْرَ مَجْهُوْلٍ. وَ مِنْ قَوْلِهِ: وَالْكَيْفُ غَيْرُ مَعْقُوْلٍ إِنَّ كُلَّ مَا هُوَ مِنْ صِفَةِ اللهِ تَعَالَى لا يَدْرِكُ الْعَقْلُ لَهُ كَيْفِيَّةً لِتَعَالِيْهِ عَنْ ذَلِكَ".

Maksudnya:
"Ianya bukan merupakan satu nas bagi mazhab[6], ini kerana kemungkinan yang dimaksudkan dengan kata-katanya’dimaklumi’ itu ialah bahawa makna istawa itu sahih dan diketahui sahih kewujudannya dalam bahasa Arab, bukanlah maksud beliau bahawa sifat ‘menetap’ (istiqrar) itu yang diketahui. Dan kata-kata beliau bahawa kaif itu tidak dapat di bayangkan oleh akal ialah setiap sifat Allah ta`ala itu tidak dapat dicapai oleh akal kerana Maha Suci Allah daripada mempunyai kaif" .

Al-Syeikh Muhammad Zahid al-Kauthari (W 1371 H) mengatakan[7]:

"إِنَّ الاِسْتِوَاءَ مَعْلُوْمٌ يَعْنِيْ مُوْرَدُهُ فِي اللُّغَةِ, وَالْكَيْفِيَّةَ الَّتِيْ أَرَادَهَا اللهُ, مِمَّا يَجُوْزُ عَلَيْهِ مِنْ مَعَانِي الاِسْتِوَاءِ مَجْهُوْلَةٌ فَمَنْ يُقَدِّرُ أَنْ
يُعِيْنُهَا؟ وَالسُّؤَالُ عَنْهُ بِدْعَةٌ لأَنَّ الاِشْتِغَالَ بِهِ قَدْ يُثِيْرُ طَلَبَ الْمُتَشَابِهِ بِهِ إِبْتَغَاءَ الْفِتْنَةِ. فَتَحْصُلُ لَكَ مِنْ كَلامِ اِمَامِ الْمُسْلِمِيْنَ مَالِكَ أَنَّ الاِسْتِوَاءَ وَ أَنَّ مَا يَجُوْزُ عَلَى اللهِ غَيْرُ مُتَعَيِّنٍ وَ مَا يَسْتَحِيْلُ عَلَيْهِ هُوَ مُنَزَّهٌ عَنْهُ...وَقَدْ حَصَلَ لَكَ التَّوْحِيْدَ وَ الإِيْمَانَ بِنَفْيِ التَّشْبِيْهِ وَ الْمُحَالُ عَلَى اللهِ سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى فَلا يْلْزَمُكَ سِوَاهُ".

Maksudnya:
"Sesungguhnya maksud istiwa’ itu diketahui ialah diketahui kewujudannya dalam bahasa Arab. dan kaifiyyat yang dikehendaki oleh Allah daripada makna-makna yang harus ke atas Allah ta`ala tidak diketahui, maka siapa yang mampu menentukannya? Dan soalan mengenainya adalah bid`ah kerana bekerja keras mencari maknanya akan membawa kepada mencari makna mutasyabih yang boleh membawa kepada fitnah. Maka daripada kata-kata al-Imam Malik ini Imam kaum muslimin ialah istiwa’ itu diketahui dan apa yang harus ke atas Allah tidak ditentukan dan apa yang mustahil ke atas Allah, Maha Suci Allah daripada perkara tersebut…dengan ini kamu telah memperolehi iman dengan menafikan tasybih dan menafikan apa yang mustahil ke atas Allah dan kamu tidak dituntut selain daripada itu" .

Dengan penjelasan ini, maka adalah tidak benar sama sekali dakwaan golongan wahhabi yang mendakwa bahawa Allah duduk di atas `Arasy dengan berhujahkan kaya-kata al-Imam Malik tersebut.

Dapat diperhatikan bahawa al-Imam Malik tidak menentukan (ta’yin) sebarang makna yang tertentu ke atas makna istiwa’ tersebut. Sebaliknya al-Imam Malik hanya mengatakan makna istiwa’ itu diketahui. Bukanlah maksud beliau makna istiwa’ itu diketahui ertinya Allah itu duduk di atas `Arasy, sebaliknya kalimah istiwa’ itu terdapat maknanya di dalam bahasa Arab dan maknanya difahami oleh orang-orang Arab.

Jadi adalah satu yang menghairankan apabila golongan Wahhabi mendakwa bahawa Allah duduk di atas `Arasy hanya berdasarkan kata-kata al-Imam Malik yang tidak ada sama sekali menyebut bahawa al-Imam Malik mengatakan Allah itu duduk, sebaliknya beliau hanya mengatakan bahawa istiwa’ itu diketahui, itu sahaja!.


Oleh itu, jelaslah bahawa para ulama’ Salaf dan Khalaf ketika berinteraksi dengan ayat mutasyabihat, mereka tidak berpegang secara zahir ayat. Mengikut kaedah Salaf (ulama` 300 kurun yang pertama) apabila bertemu dengan ayat mutasyabihat seperti Surah Thaha ayat 5, maka mereka tidak menterjemahkan istawa itu mahupun menafsirkannya, sebaliknya mereka hanya menyerahkan maknanya secara mutlak kepada Allah ta`ala tanpa memerihalkankan kaifiyyatnya, cukup dengan sekadar beriman dengan ayat tersebut. Inilah kaedah yang diguna pakai oleh ulama` salaf ketika berinteraksi dengan ayat mutasyabihat untuk mengelakkan daripada mentasybihkan Allah ta`ala kerana Maha Suci Allah daripada menyerupai makhluk.

Manakala kaedah ulama` Khalaf pula (ulama` selepas 300 kurun pertama) menggunakan kaedah ta’wil iaitu memalingkan lafaz zahir kepada makna yang sesuai dengan Dzat Allah ta`ala agar dapat mensucikan Allah daripada menyerupai makhluk-Nya. Menurut ulama` khalaf perkataan istawatersebut di ta’wil dengan makna istawla iaitu dengan makna menguasai. Oleh itu, maksud ayat Allahistawa atas `Arasy bukan bermaksud semayam tetapi Allah menguasai `Arasy-Nya. Begitu juga dengan Yad Allah bukan bermaksud Allah mempunyai tangan tetapi ayat tersebut bermaksud Allah berkuasa ke atas makhluk-Nya. Kesimpulannya, sama ada ulama` Salaf dan mahupun Khalaf, kedua-duanya mensucikan Allah ta`ala daripada menyerupai sifat makhluk kerana Allah ta`ala tidak menyerupai makhluk dan tidak ada suatupun yang menyamai Allah ta`ala.

Al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna al-Asy`ari (Pengasas Ikhwan Muslimin) berkata lagi[8]:

"وَخُلاصَةُ هَذَا الْبَحْثِ أَنَّ السَّلَفَ وَالْخَلَفَ قَدْ اِتَّفَقَا عَلَى أَنَّ الْمُرَادَ غَيْرُ الظَّاهِرِ الْمُتَعَارِفُ بَيْنَ الْخَلْقِ".

Maksudnya:
"Sesungguhnya ulama` Salaf dan Khalaf bersepakat tidak berpegang secara zahir (ayat mutasyabihat)".


Al-Shaykh al-Imam al-Sufiyyah al-`Arif billah al-Sayyid Ahmad al-Rifa`i al-Syafi`i (W. 578 H) berkata di dalam kitabnya al-Burhan al-Mu'ayyad[9]:

"صُوْنُوْا عَقَائِدَكُمْ مِنَ التّمَسُّكِ بِظَهْرِ َماتَشَابَهَ مِنَ الْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ فَإِنَّ ذَلِكَ مِنْ أُصُوْلِ الْكُفْرِ".

Maksudnya :
"Jagalah akidah kamu sekalian dari berpegang kepada zahir ayat al Quran dan hadis Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam yang mutasyabihat, sebab hal ini merupakan salah satu pangkal kekufuran".

Oleh itu jelaslah bahwa sesiapa yang berpegang dengan zahir ayat mutasyabihat, maka ia akan membawa kepada mentasybihkan Allah dan menyebabkan seseorang itu jatuh ke dalam kekufuran. Maka disebabkan hal ini, para ulama` Salaf dan Khalaf tidak berpegang kepada zahir pada ayat mutasyabihat kerana pemahaman terhadap zahir ayat akan mengundang tasybih.


[1] Al Imam Al-Bayhaqi, al-Asma’ was-Sifat; Bab ma ja’ fil-`Arsy wal-Kursi, Dar Al-Jail Beirut, hlm. 568 .

[2] Al-Imam Al-Qarafi di dalam kitabnya Az-Zakhirah,13/242.

[3] Al-Zahabi, Syiar A`lam al-Nubala, j. 8. h. 105.

[4] Al-Imam Al-Qadhi `Iyadh, al-Syifa’, j. 2. h. 542.

[5] Al-Imam al-Alusi, Ruh al-Maani, Dar Al-Fikr, j. 4, h. 136.

[6] Maksud beliau ialah mazhab orang yang mendakwa bahawa kata-kata al-Imam Malik tersebut bermaksud Allah itu bersemayam atau tempat-Nya di atas `Arasy.

[7] Al-Syeikh Muhammad Zahid al-Kauthari, Maqalat al-Kautahri (1998), Dar al-Salam, c. 1. h. 225.

[8] Al-Imam al-Syahid Hassan al-Banna al-Asy`ari, Majmu` Rasail pada kitab Al-Aqoid, h. 418.

[9] Al-Rifa`i, al-Burhanul-Mu’ayyad, Maktabah al-Hilwani, Damsyiq. h. 14. dan di dalam kitab Ibn Taimiyah Laisa Salafiyyan, ulama’ al-Ahzar Mansur Muhammad Muhammad `Uwais (1970), Ibn Taimiyyah Laisa Salafiyyan, Kaherah: Dar al-Nahdhah al-`Arabiyyah, h. 16.

No comments:

Post a Comment

 
All right reserved to Persatuan Mahasiswa Pengajian Akidah Dan Agama. Template by Perwadah USIM