Wednesday 28 November 2012

Apa Itu Syiah

Jawapan ditulis oleh Syaikhuna Dr. Zulkifli Mohammad al-Bakri, mantan Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM, ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan.

Soalan: Apa yang dimaksudkan dengan Syiah? Adakah ia merbahaya?

Jawapan:
Syeikh Muhammad Abu Zahrah di dalam kitabnya Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah menyebut: “Syiah merupakan mazhab politik Islam yang terawal yang muncul pada akhir pemerintahan Uthman RA dan mula berkembang pada zaman Ali RA.



Ini kerana golongan Syiah bergaul dengan orang ramai, menyebabkan orang ramai mengkagumi kelebihan dan kehebatan mereka samada dari segi pegangan agama ataupun ilmu. Ini memudahkan mereka untuk menyebarkan fahaman mereka yang sebahagiannya melampau dan sebahagian lain agak moderat.

Apabila berlaku banyak penindasan dan kezaliman ke atas keturunan Saidina Ali RA pada zaman pemerintahan Umawiyyah, maka bertambahlah kasih sayang orang ramai kepada zuriat Rasulullah SAW dan juga penyokongnya.

Ibn Khaldun melalui al-Muqaddimah berkata: “Imamah (perlantikan pemerintah) bukan termasuk dalam kepentingan umum yang diserahkan urusannya kepada ummah tertentu berdasarkan penetapan mereka. Bahkan ia merupakan rukun agama dan kaedah Islam. Tidak harus mana-mana Nabi membiarkan dan menyerahkannya kepada ummah semata-mata. Sebaliknya menjadi kewajipan ke atasnya untuk menentukan imam atau pemerintah yang bersifat ma’sum dari sebarang dosa besar dan kecil. Inilah asas mazhab Syiah.

Syiah bukanlah satu tahap sahaja, ada yang melampaui dan ada yang penuh dengan keinsafan. Dengan sebab itulah ada ulama’ yang menyebut bagaimana para sahabat yang melebihkan Ali RA atas semua sahabat seperti Ammar bin Yasir, al-Miqdad bin al-Aswad, Abu Zar al-Ghifari, Salman al-Farisi, Jabir bin Abdullah, Ubay bin Ka’ab, Huzaifah, Buraidah, Abu Ayyub al-Ansari, Sahl bin Hunaif, Uthman bin Hunaif, Abu Haitham bin al-Taihan, Abu Tufail Amir bin Wailah, al-Abbas bin Abdul Muttalib dan Bani Hasyim. Inilah yang dinyatakan oleh Ibn Abi al-Hadid dalam Syarh Nahj al-Balaghah.

Dalam kitab Manhaj Aqidah Imam al-Syafie menyebut perbahasan berkenaan dengan Rafidhah (رافضة) iaitu: “Asal mazhab ini bermula dari sikap memihak sebahagian kelompok kepada Ali RA dan lebih mengutamakannya daripada Uthman RA iaitu mazhab penduduk Kufah.” Pada mulanya, kelompok ini tidak sampai melakukan tipu daya terhadap Uthman dan juga terhadap sahabat-sahabat lainnya, bahkan tanpa diragui lagi bahawa mereka mengakui kemampuan pemerintahan dua khalifah sebelumnya.

Syeikh al-Islam Rahimahullah menjelaskan: Telah mutawatir sebuah riwayat dari Ali RA bahawa ia berkata: Sebaik-baik umat sesudah Nabi-Nya adalah Abu Bakar RA kemudian Umar RA. Dan hal ini disepakati oleh kalangan Syiah generasi terdahulu yang mana semua menganggap yang utamanya ialah Abu Bakar RA dan Umar RA. Cuma, perselisihan terjadi pada Ali RA dan Uthman RA, manakala dua tokoh ini masing-masing mempunyai pengikut. Berbeza dengan Abu Bakar RA dan Umar RA yang mana tiada seorangpun memihak kepada mereka kerana seluruh umat sepakat menerima termasuk golongan Khawarij.

Kemudian golongan Syiah pun berkembang disebabkan oleh beberapa faktor lain yang mempengaruhinya. Antara lain kerana kemunculan Abdullah bin Saba’ al-Yahudi yang mengaku Islam dan memihak kepada Ali serta Ahlul Bait, namun bersikap berlebih-lebihan dalam mencintainya, di mana kemudian dinisbahkan kepadanya dengan Saba’iyah.

Al-Baghdadi berkata: Kaum Saba’iyah ialah para pengikut Abdullah bin Saba’ al-Yahudi yang berlebih-lebihan dalam menyanjung Ali RA dan menduga bahawa ia adalah seorang Nabi. Bahkan sampai menduga bahawa ia adalah Tuhan. Aliran ini banyak dianuti oleh kalangan orang-orang sesat dari kalangan penduduk Kufah. Kemudian ketika berita tentang mereka disampaikan kepada Ali RA, beliau pun segera mengambil tindakan dengan memerintahkan untuk membakar mereka hidup-hidup dalam dua buah lubang dan mengasingkan tokohnya Abdullah bin Saba’ ke daerah al-Mada’in. Di antara mereka ada pula yang beri’tiqad bahawa Ali RA berada di awan, petir adalah suaranya, sedang kilat adalah pecutannya. Maka, ketika mendengar suara petir itu mereka mengucapkan: Semoga keselamatan atasmu, wahai pemimpin umat Islam.

Selepas zaman Saidina Ali RA, golongan Rafidhah terpecah kepada empat kelompok iaitu Zaidiyah, Imamiyah, Kisaniyah dan Ghulat (golongan pelampau). Kemudian, Zaidiyah pula berpecah menjadi beberapa bahagian, demikian juga dengan Imamiyah dan Ghulat, di mana masing-masing dari mereka saling mengkafirkan satu sama lain.

Selanjutnya berbagai-bagai golongan muncul, dan di bawah simbol tasyayyu’ (تشيع) inilah Islam dimasuki orang-orang yang licik dan jahat. Maka lahirlah aliran batiniah seperti Nashiriyah, Duruz, Fatimiyyin dan Isma’iliyyin yang kesemuanya masuk melalui pintu tasyayyu’.

Al-Zahabi Rahimahullah berkata: “Mereka adalah kaum yang paling dusta terhadap fakta-fakta nas, dan paling bodoh dari sudut pandangan logik. Oleh kerana itu, menurut pandangan para ulama’ mereka adalah golongan yang paling bodoh. Dari merekalah datangnya kerosakan yang banyak dalam agama yang jumlahnya tidak dapat dihitung kecuali oleh Tuhan Sekalian Alam. Melalui golongan Nashiriyah, Isma’iliyah dan Batiniah inilah mereka menyusup masuk. Demikian juga dengan orang-orang kafir dan murtad, melalui jalan ini mereka sampai dan mereka pun mendominasi dunia Islam serta menimbulkan pertumpahan darah.

Al-Zahabi menambah dengan berkata: Imam Malik pernah ditanya tentang golongan Rafidhah, beliau berkata: Jangan berbicara dengan mereka dan jangan pula meriwayatkan dari mereka kerana mereka itu pendusta.

Harmalah mengkhabarkan bahawa beliau pernah mendengar Imam al-Syafie Rahimahullah mengatakan: Aku tidak pernah melihat satu golongan yang paling banyak penyaksian dusta selain daripada golongan Rafidhah.

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bertarikh 5 Mei 1996 ialah sebagaimana berikut:

i. Bersetuju supaya keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang telah diadakan pada 24 dan 25 September 1984 (Kertas Bil. 2/8/84, Perkara 4.2 [2]) mengenai aliran Syiah yang menetapkan seperti berikut: “Setelah berbincang dan menimbang kertas kerja ini jawatankuasa telah mengambil keputusan bahawa hanya Mazhab Syiah dari golongan al-Zaidiyah dan Ja’fariah sahaja yang diterima untuk diamalkan di Malaysia.” Dimansuhkan.

ii. Menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah wa al-Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlaq.

iii. Menyokong dan menerima cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-negeri bagi memperuntukkan dengan nyata bahawa agama bagi Persekutuan dan Negeri-negeri hendaklah agama Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah wa al-Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak.

iv. Memperakukan pindaan kepada semua Undang-undang Negeri dan Hukum Syara’ bagi menyelaraskan pengertian “Hukum Syara’ atau Undang-undang Islam” seperti berikut: “Hukum Syara’ atau Undang-undang Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah wa al-Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlaq.

v. Memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah wa al-Jamaah adalah bercanggah dengan Hukum Syara’ dan Undang-undang Islam dan dengan demikian penyebaran ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah wa al-Jamaah adalah dilarang.

vi. Menetapkan bahawa penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem, video dan lain-lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah wa al-Jamaah adalah diharamkan.

No comments:

Post a Comment

 
All right reserved to Persatuan Mahasiswa Pengajian Akidah Dan Agama. Template by Perwadah USIM