Friday, 11 January 2013

Kenyataan Rasmi PERWADAH Berhubung Isu Penggunaan Kalimah Allah Dalam Konteks Malaysia



Segala puji bagi Allah s.w.t Tuhan seru sekian alam. Selawat dan salam  buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w penutup sekalian para Nabi dan Rasul. Persatuan Mahasiswa Pengajian Akidah & Agama rasa terpanggil bagi memberi komentar serta pandangan kritis berkenaan isu yang dibangkitkan semula di tanah air kita ini. Isu ini berkenaan hukum penggunaan kalimah Allah bagi bukan Islam dalalm konteks Negara Malaysia. Isu ini bertitik tolak daripada kes dimana pihak akhbar Herald Catholic Weekly yang menterjemahkan perkataan God  kepada Allah dalam satu terbitan akhbar mereka yang mana sudah berlalu 4 tahun yang lalu namun ia kini dibangkitkan kembali.


Firman Allah s.w.t :

Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; (1) "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; (2) "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; (3) "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya". (4)
(Al-Ikhlas ayat 1-4)



            Dalam firman Allah s.w.t diatas jelas menunjukkan keyakinan umat Islam terhadap konsep tauhid Allah A’zza Wa Jalla. Didalam isu ini dalam konteks Negara Malaysia telah lama mewartakan  kalimah Allah, Ka’abah, Baitullah dan Solat di bawah Warta PU (A) 15/82 dan Pekeliling KKDN. S. 59/3/6/A bertarikh 5 Disember 1986. Manakala Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 3 Januari 2008 memutuskan untuk mengekalkan larangan tersebut sebagaimana yang pernah diputuskan pada 18 Oktober dan 1 November 2006.
            Namun demikian isu ini kembali dibangkitkan oleh pihak tertentu dan menjadi perbincangan secara tidak langsung di laman social mahupun blog-blog mutakhir ini. Secara dasarnya kalimah Allah telah lama wujud sebelum kelahiran Rasulullah s.a.w yang mana nama ayahanda Nabi s.a.w sendiri namanya Abdullah atau maknya ‘Hamba Allah’. 


Firman Allah s.w.t :

“Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid)”
(Surah al-Ankabut ayat 63).


Ayat ini jelas menunjukkan bahawa kalimah Allah telah lama dahulu disebut oleh orang Musyrik di Mekah. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w diperintahkan Allah untuk mengucap kesyukuran atas pengakuan tersebut. Namun dalam isu ini bukan mempersoalkan tentang penerimaan bukan Islam berkenaan Allah sebagai pencipta alam maya ini tetapi ia berkenaan salah guna perkataan Allah dan konsep Tauhid yang dipraktikan oleh umat Islam sejagat.
Setelah meniliti dalil-dalil al-Quran dan as-Sunnah serta pendapat-pendapat  para Alim Ulama dahulu serta kini  kami berpandangan dalam konteks Negara Malaysia penggunaan kalimah Allah ini wajar disekat buat bukan Islam berdasarkan kaedah Fiqhiyyah Sa’d al-Zarai’ iaitu menutup kerosakan. Ia bertepatan dengan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama dan bertujuan bagi menjaga kalimah Allah dari disalah ertikan dan dikotorkan dengan fahaman-fahaman sesat agama lain. Keputusan ini bersandarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa(JKF) Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-82 yang berlangsung pada 5-7 Mei 2008 yang memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah khusus buat agama dan umat Islam sahaja.
Bahkan Penganut Kristian juga berselisih pendapat di dalam hal ini. Pada Ogos 2007, Tiny Muskens telah membuat seruan kepada penganut Kristian untuk menggunakan kalimah Allah. Walau bagaimanapun seruan tersebut telah mendapat bantahan daripada penganut kristian sama ada dikalangan Protestant mahupun Katolik sendiri. Presiden Liga Katolik Bagi Hak Agama Dan Sivil telah membantah saranan tersebut dengan kenyataannya : “Bishop Martinus Tiny Muskens can pray to Allah all he wants, but only addlepated Catholics will follow his lead. It’s not a good sign when members of the Catholic hierarchy indulge in a fawning exchange with Muslims, or those of any other religion”(Rujuk artikel penuh di http://www.foxnews.com/story/0,2933,293394,00.html).
Justeru itu kami menyeru kepada seluruh umat Islam ayuh sama-sama kita membina semula pemahaman akidah kita yang sebenar. Bukan sahaja pandai melaungkan kemarahan kepada mereka yang memperlekehkan akidah kita tapi dalam masa yang sama tidak mahu mendalami konsep Tauhid dan akidah yang sebenar dalam Islam. Termaktub di bawah perlembagaan berbunyi:


Perlembagaan Persekutuan 1963 (sebelum ini ialah Perlembagaan Merdeka 1957) pada Perkara 3(1) menjelaskan bahawa agama Islam merupakan agama Persekutuan. Juga dalam masa yang sama agama-agama lain masih bebas diamalkan oleh setiap penganutnya sebagaimana dalam Perkara 11(1). Namun begitu, agama-agama lain dikenakan syarat bahawa penyebaran apa-apa kepercayaan atau agama bukan Islam tidak dibenarkan dilakukan dikalangan orang Islam sebagaimana dalam Perkara 11(4).


Sampai bila kita akan terus hanya berlindung dibawah perlembagaan dan undang-undang tetapi terus menerus tidak mahu mendalami akidah suci Islam itu sendiri seterusnya menjadi nadi umat akhir zaman ini untuk mempertahankan Islam satu-satunya agama yang diredhai Allah A’zza Wajalla di alam raya ini . Wallahua’lam.

Mohamad Hakimi Bin Mohamed Salleh
Presiden
Persatuan Mahasiswa Pengajian Akidah & Agama Sesi 2012/13
Universiti Sains Islam Malaysia

No comments:

Post a Comment

 
All right reserved to Persatuan Mahasiswa Pengajian Akidah Dan Agama. Template by Perwadah USIM