Tuesday, 8 April 2014

SEBUAH TRAVELOG ILMIAH : JAULAH KE IPSI DAN KUIL


KHAMIS (3/4/2014)

Dua pensyarah kami yang setia menemani dan mengiringi jaulah ilmiah ini, Dr.Rosmizi dan Dr.Nashief.
Bermulalah sebuah jaulah menuju ke negeri Pulau Pinang. Targetnya, mahu menuju ke IPSI (Islamic Propagation Society International) dan kuil-kuil besar di sana. Perjalanan kami bermula lebih kurang jam 11 malam, dari Acasia, Nilai. Seramai lebih kurang 120 mahasiswa dan mahasiswi Pengajian Akidah dan Agama, USIM menyertai lawatan ilmiah ini. Diiringi dua pensyarah kami sendiri iaitu Dr. Rozmizi dan Dr. Nashief S.Disomimba. Sebanyak 3 bas bertolak bersama kami. Perjalanan yang amat panjang itu menyebabkan bas berhenti dua kali di RnR. Terasa lambat masa berlalu.

JUMAAT (4/4/2014)

IPSI, Pulau Pinang.

Solat Subuh kami di Pulau Pinang. Singgah sebentar di sebuah surau. Kemudian, diteruskan dengan sarapan untuk mengisi perut yang sudah sibuk menyanyi lagu keroncong. Usai bersarapan, kami menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Mashoor, Pulau Pinang. Di situlah tempat kami menginap dan menguruskan diri masing-masing. Sampai saja di sana, masing-masing mencari posisi tilam yang selesa dan terus merebahkan sekujur tubuh yang sudah lesu dek kerana berjam-jam di dalam bas. Usai rehat, pelajar lelaki perlu bersiap-sedia untuk solat Jumaat.

Jam 3 petang. Agenda kami bermula dengan melawat IPSI. Sebelum itu, perut harus diisi! Kami singgah di kawasan berdekatan dengan Hospital Pulau Pinang untuk mencari juadah dan kedai makan berhampiran. Jaulah diteruskan dengan menuju ke Pusat Penyebaran Islam Antarabangsa iaitu IPSI. Lebih kurang jam 4 petang, kami tiba di bangunan IPSI. Kakitangan IPSI menyambut kami sebagai tetamu istimewa dari USIM, Nilai dengan wajah gembira sekali.

Kami dihidangkan dengan 'makanan rohani' yang cukup mengenyangkan jiwa dan hati-hati kami. Sebagai permulaan, pihak IPSI menayangkan video mereka untuk tontonan kami. Video tersebut banyak membuka mata kami. Mengalir sebuah rasa insaf dan kesedaran. Terpegun dengan cara dakwah dan pendekatan mereka pada warga Non Muslim.

Antara kata-kata daripada Presiden IPSI iaitu ustaz Kamarudin Abdullah yang masih tersimpan kemas dalam ingatan ini adalah,

 "Kamu tahu tak, di Indonesia saja, dah ada 28 juta orang Kristian. Orang Kristian sangat aktif menyebarkan dakyah mereka. Kenapa kita tak turun untuk berdakwah pada non-Muslim? Kenapa kita, ustaz ustazah lepasan al-Azhar, lepasan universiti Islam semua, tak keluar ke gelanggang masyarakat untuk berdakwah? Tak ramai yang nak berdepan dengan non-Muslim? Sunnah utama Nabi Muhammad Sollallahu 'Alaihi Wasalam adalah dakwah. Berdakwah pada orang-orang kafir atau non-Muslim. Jangan kita rasa bangga jadi ustaz atau ustazah kalau kita tak ada pengorbanan, tak ada keringat peluh untuk jalankan dakwah Islam."

"Kalau dalam kuliah, kita dapat teori saja. Jadi, macam mana nak aplikasikan? Macam-macam tuduhan Islam dapat. Siapa nak bela Islam kalau bukan kita?"

"Barang siapa membawa amal yang baik maka baginya (pahala) sepuluh kali lipat amalnya; dan barang siapa yang membawa perbuatan yang jahat maka dia tidak diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya, sedang mereka sedikit pun tidak dianiaya (dirugikan)." (Surah al-An'am : 160)

Ustaz Kamarudin Abdullah sedang rancak berkongsi cerita dan pengalaman bersama kami.

Ustaz Kamarudin Abdullah sempat berkongsi bersama kami akan kisah beliau bertemu dengan hidayah-Nya. Kisah beliau tersentak dan tersentuh dengan satu ayat cinta-Nya, seterusnya membawa beliau menuju ke gerbang Islam. Beliau baca terjemahan Al-Quran kerana tika itu, beliau tidak reti membaca Bahasa Arab. Dan hatinya tersentak dan tersentuh dengan ayat cinta-Nya dalam surah al-Ikhlas, ayat 1-4 yang membawa makna,

Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia".

Kita sebenarnya adalah duta Islam. Orang sekeliling kita, termasuklah non-Muslim akan memandang Islam berdasarkan kita, orang Muslim. Dan sepatutnya, mereka perlu lebih memandang pada Islam itu sendiri kerana Islam itu sempurna, sedangkan Muslim itu serba berdosa dan banyak lagi yang tak kena. Sebab itulah, kita, diri kita sendiri perlu diislah iaitu perlu diperbaikkan lagi dari sudut memahami dan meneladani serta menanam Islam dalam diri kita memandangkan kita ini Muslim.

Ustaz Kamarudin juga bercerita mengenai bagaimana orang Kristian sebarkan dakyah mereka. Mereka tak bawa agama mereka terus. Mereka akan cuba menangi hati orang ramai, bantu sana sini, bermalam di tempat mereka (khususnya orang Asli), tunjuk keprihatinan mereka, amalan-amalan mereka. Bila dah lama, bila mereka dah ada 'tempat' di hati orang Asli, barulah mereka bercerita soal agama Kristian. Kita kena duduk dengan mereka, 2-3 tahun, dekat dengan mereka supaya kita dapat 'pancing' mereka. Kena hati-hati. Sebab ada juga yang over excited nak berdakwah, berkeras dengan mereka, sampai ada yang kena pancung. Kalau kita benar-benar serius, ikutlah jemaah yang senior, yang dah buat kerja-kerja macam ni lama, belajar daripada mereka. Benda macam ni memang sangat perlu akan sebuah pengorbanan.

Beliau juga berkongsi tentang 12 rujukan untuk dakwah, yang boleh kita guna dalam hendak menjawab hujah dan persoalan-persoalan daripada pihak non-Muslim. Soalan susah ke, senang ke, boleh jawab.

1) Al-Quran
2) Al-Sunnah
3) Ijmak Ulamak
4) Sirah Nabi
5) Adat
6) Sains
7) Fakta
8) Statistik
9) Logik
10) Psikologi
11) Perbandingan Agama
12) Analogi

Itulah antara isi sebahagian perkongsian beliau bersama kami selama lebih kurang 2 jam itu. Kemudian, kami disajikan dengan hidangan bihun goreng sebagai menu petang. Usai makan, kami singgah ke kedai buku mereka, membeli buah tangan berbentuk buku sebagai bahan 'makanan utama' pelajar Pengajian Akidah dan Agama. Memang rambang mata tengok lambakan buku-buku tersebut!

Kami singgah ke Masjid Negeri Pulau Pinang untuk menunaikan solat jamak takdim Maghrib dan 'Isyak. Usai solat, kami kembali ke teratak penginapan kami, SMKA Al-Mashoor. Malam itu, beberapa pelajar lelaki bersama seorang pensyarah pengiring kami, Dr. Rosmizi, mengambil kesempatan untuk memenuhi ruang stadium Pulau Pinang bagi menyaksikan perlawanan bola sepak antara Pulau Pinang dan Johor. Pelajar perempuan pula, sebahagian mereka, keluar di sekitar situ untuk jalan-jalan mencari makan. Yang lain, hanya mampu  berehat di bilik asrama masing-masing lantaran skru-skru otot sudah longgar dan perlukan rehat yang cukup untuk menghadapi hari esok, jaulah ke kuil besar pula!

SABTU (6/4/2014)

Sesi bergambar bersama.
Cuaca tenang dan damai pagi itu. Alhamdulillah, kami meneruskan misi kami pada hari terakhir itu iaitu berkunjung ke dua buah kuil besar yang terdapat di Pulau Pinang ini. Kami berkumpul lebih kurang jam 7.30 pagi. Sementara menunggu kehadiran bas, kami diarahkan untuk berkumpul mendengar sedikit taklimat daripada pensyarah pengiring kami. Beliau menasihatkan kami agar menjaga adab dan etika ketika berada di kuil nanti. Beliau meminta agar kami tidak memperlekehkan patung-patung mereka dan sebagainya. Usai taklimat, sesi bergambar bersama pula. Kemudian, jalan kaki untuk mencari sarapan kerana perut masing-masing sudah minta diisi.

Lebih kurang jam 9.45 pagi, kami menuju ke destinasi terakhir, iaitu kuil. Ada dua buah kuil yang sempat untuk kami kunjungi. Biarlah gambar-gambar di bawah ini yang berbicara.









Ada antara kami yang bertegur sapa dan berbual sebentar bersama seorang pelancong asing dari Belgium, seorang 'free thinker'. Bila ditanya, "What do you understand about Islam?"

"Erm.. Islam I see only like a.. lets say a.. in western culture, we see only the.. not so good parts.. I think that the teachings of like sufi, I think that very high. But its happen now today that people dont see that anymore. There is so strict and many complicated. Erm.. I think there are so many beautiful things, not only in Islam, but Buddhism and so on.. If we can combine these things, and then it will benefit us. So, study a lot and know more. Have a good journey." Jawabnya.

"Ok thank you for your answer.. have a great journey too.." Balas kami sambil melambai tangan. Dari situ, kami faham, Islam ini sebenarnya bagaimana dari persepktif orang-orang Barat. Dan itu menaikkan semangat kami untuk lebih bersungguh-sungguh dalam tafaqquh fiddin untuk membetulkan pandangan-pandangan Barat yang salah mengenai Islam. Banyak yang nak diborakkan, tapi, masa mencemburui kami. 
Ada antara sahabat kami yang sempat berbual dan menemu ramah seorang sami. Bertanya tentang sejarah Buddhism.

Menariknya, mereka memang sediakan dan beri buku komik mereka bertajuk 'Journeys To The Under-World' pada orang yang datang ke kuil tersebut. Termasuklah kami yang Muslim ini, dapat juga buku tu. Kami ambil dan terima. Mungkin, itu salah satu 'manhaj dakwah' mereka pada orang ramai. Dan, kita perlu ikut cara sebegitu. Biar pelancong asing datang ke masjid kita, ambil gambar masjid kita dan sebagainya. Kemudian, kita boleh bagi mereka buku atau risalah dakwah kita. Nak lagi seronok, kita boleh sediakan dan beri mereka Al-Quran terjemahan versi Bahasa Inggeris. Ada sebahagian hotel yang sediakan Bible di bilik hotel mereka. Itu juga salah satu cara Kristian sebarkan agamanya. Maka, apa yang kita buat untuk sebarkan Islam?

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud: “Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil” [Hadith Muslim no. 145]

Sebelum pulang, kami sempat juga singgah di beberapa tempat untuk membeli-belah ole-ole, makan tengahari, serbu pasembur dan sebagainya. Memang sedap pasemboq penang! Sayangnya, tak dapat merasa nasi kandaq! :(

Sepanjang perjalanan pulang itu, ramai juga yang turun untuk berhenti di RnR dan pulang ke kampung sendiri kerana jaraknya yang sudah dekat. Untunglah mereka!

Alhamdulillah, kami selamat sampai hampir jam 10.30 malam. Perjalanan pulang memang banyak perhentian, jadinya, agak lewat sedikit sampai. Sesungguhnya, jaulah dan lawatan ilmiah ini memang terasa penatnya. Namun, terasa juga puasnya! Harap, tahun depan dapat ke gereja pula!

NASIHAT BUAT PENUNTUT ILMU

Pelajar-pelajar lelaki dan dua pensyarah kami bersama ustaz Kamarudin dan kakitangan IPSI.
Sebagai seorang pelajar dan penuntut ilmu agama, kita ada amanah dengan ilmu yang kita pelajari. Jaga dan gunakanlah amanah itu sebaiknya. Jalankan tanggungjawab kita bersama iaitu mempraktikkannya dalam kehidupan seharian kita. Bukan sekadar berteori di dalam kelas dan kuliah serta di atas kertas peperiksaan semata. Akan tetapi, turun padang dan libatkan diri denga masyarakat!

Namun, jangan sampai kita jadi golongan yang "suka berdakwah akan tetapi lesu di bilik kuliah"!

Lebih-lebih lagi, pelajar Pengajian Akidah dan Agama. Kita belajar agama samawi, kita belajar bab-bab akidah, kita belajar perbandingan agama, kita belajar tasawuf, falsafah dan sebagainya. Andai kita tidak serius dalam belajar dan masih leka dengan pesona dunia, maka, rugilah kita!

“…sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah adalah dalam kalangan hamba-Nya yang berilmu.” (Surah Fatir : 28)

Belajar itu penting. Menuntut ilmu itu penting, kesungguhan dalam menuntut ilmu itu penting. Jangan sesekali ambil ringan soal sebegini, kerana pekerjaan kita di masa akan datang, nak menerang dan menyampaikan pada masyarakat, nak itu nak ini, memerlukan ilmu yang kita tahu. Bukan ilmu yang kita buat-buat tahu. Lagi-lagi, kita ini dalam bidang akidah. Lagi perlu pada pemahaman ilmu yang betul dan jelas serta usaha yang bersungguh untuk mahir membaca dan menghadam kitab dan sebagainya. Tak ada masa dah nak main-main buat assignment, nak ponteng kelas kuliah, nak bermalasan dan asyik nak beralasan lagi.

Satu pesanan terakhir yang perlu kita sematkan dalam hati dan diri :
Kerja-kerja Islam itu bukan dilakukan pada waktu lapang, tapi, kita yang perlu lapangkan waktu kita untuk melakukan kerja-kerja Islam.

Pelajaran no 1, kerja-kerja dakwah dan persatuan bukan no 2. 

"AKIDAH JITU, UMMAT BERPADU"

"Klik di sini" untuk lihat gambar dan suasana sepanjang lawatan ilmiah ini. Semoga bermanfaat perkongsian untuk kali ini. Moga Allah redha kita.

2 comments:

  1. very nice sharing.. CONGRATE PERWADAH for this jaulah.. hope it still could be held next time..

    ReplyDelete
  2. PERWADAH terbaik! teruskan lawatan ilmiah sebegini! :)
    terus maju dan laju untuk Islam.. :)

    ReplyDelete

 
All right reserved to Persatuan Mahasiswa Pengajian Akidah Dan Agama. Template by Perwadah USIM